Friday, February 18, 2022

Alat Muzik Dikir Barat Siri I


Sudah lama ambo tidak menulis perkara yang berkaitan dengan seni dikir barat. Bukan kerana kurang berminat tetapi keterbatasan waktu dan idea menjadi rintangan kepada ambo. Jadi ambo sudah mendapat ilham dan mood untuk menulis kembali perihal berkaitan dengan seni warisan yang sebenarnya menjadi roh dan darah daging kepada ambo iaitu dikir barat.

Kali ini ambo akan berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan alat  muzik dikir barat. Pada peringkat awal perkembangan Dikir Barat, ia hanya menggunakan satu alat audifon sahaja iaitu kerecek atau kepingan-kepingan buluh yang diketuk bersama untuk menghasilkan rentak irama dikir barat. Sehingga ke hari ini terdapat lima alat muzik yang menjadi instrumen asas dalam persembahan dikir barat iaitu rebana ibu, rebana anak, gong atau tetawak, canang, marakas atau buah romba, tamborin dan kesi.


Rebana Ibu


Satu ketika dahulu termasuk ambo, ambo memanggilnya sebagai gendang ibu. Namun selepas berkecimpung sekian lama dalam dikir barat ia bukan gendang tetapi dikenali sebagai rebana. Ini kerana terdapat perbezaan antara rebana dan gendang. Rebana ialah alat muzik yang berbentuk bulat, separa kon seupama cawan dan mempunyai satu permukaan. Gendang pula berbentuk memanjang dan mempunyai dua permukaan dan kedua-dua permukaan berfungsi untuk dipalu. 

Berbalik kepada rebana ibu, ia merupakan alat muzik terpenting dan utama dalam persembahan dikir barat. Paluan rebana ibu umpama tulang belakang kepada persembahan dikir barat. Jika tiada paluan rebana ibu maka persembahan dikir barat dianggap tidak sempurna. Pemain rebana ibu juga merupakan antara watak penting yang menghidupkan persembahan dikir barat selain tukang karut, tok juara dan awak-awak.

Dari segi pembuatannya rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan dibuat  daripada kayu yang di dalamnya berukuran kira-kira antara lima hingga ke enam inci.  Untuk menegang kulit rebana, pancang kayu atau baji digunakan di antara cincin dan bahagian bawah badannya beserta diketatkan lagi dengan seutas rotan kecil yang dimasukkan di bahagian bawah belulang dengan permukaan badan rebana dengan menggunakan kayu yang berbentuk tirus pada bahagian hadapan yang dipanggil baji.

Baji Rebana Ibu/Anak

Terdapat tiga paluan asas dalam paluan rebana ibu iaitu paluan membo, paluan dangdut dan paluang cincang.....bersambung....

 

Monday, August 23, 2021

Kembara Seniku III

 Permulaan Sebagai Aktivis Dikir Barat Kampus

Gambar Sekadar Hiasan...hehe


Alhamdulillah, setelah sekian lama ambo tidak menulis hari ini ambo dengan izin Allah SWT telah diberikan kekuatan untuk mencoret beberapa kenangan yang ambo lalui satu ketika dahulu sebagai salah seorang aktivis kesenian dikir barat. Setahun (2004) setelah ambo menamatkan persekolahan ambo dan mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ambo telah telah diterima untuk melanjutkan pengajian ambo ke peringkat sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perkara yang pertama ambo apabila dapat masuk 'U' selain untuk fokus kepada pelajaran ialah bergiat aktif dalam kegiatan seni dikir barat. Peluang yang pertama yang diberikan kepada ambo apabila pihak kolej kediaman ambo Kolej Aminuddin Baki (KAB) memilih ambo dan beberapa rakan mahasiswa yang lain untuk menjalani latihan kebudayaan yang dikelolakan oleh Pusat Kebudayaan UKM di Dewan Tun Abdul Razak, DECTAR (bapak segala dewan di UKM) sempena Minggu Mesra Mahasiswa (minggu orientasi bebudak baru termasuk ambo). Apabila ambo tiba di DECTAR, ambo bersama dengan rakan-rakan lain kecuali yang terlibat dengan kesenian lain telah dibawa ke bilik dikir barat di tingkat atas DECTAR. Ambo sangat takjub sekali bila melihat bilik berkenaan, cukup lengkap dengan peralatan seperti alat siaraya dan alat muzik dikir barat. Pada ketika itu  yang mengendalikan latihan adalah En Burhanudin (Abe Din) dan En Afiezul (Joe Bbano Emas). Mereka berdua telah membuat audition dan akhirnya ambo yang dipilih untuk mengetuai persembahan. Dibelakang ambo adalah awak-awak mahasiswa baru yang dipilih ada lelaki ada perempuan, berbagai negeri dan berbilang kaum. Disinilah ambo berkenalan dengan beberapa orang rakan-rakan dari kolej lain yang mempunyai minat yang mendalam terhadap keseniaan dikir barat seperti Azam (Ajey), Sobri (Sob) dan Roslan (Ley Seres). Dari Kolej Aminuddin Baki ambo tidak keseorangan kerana turut bersama ambo adalah Saiful (Sepu), Fikri (Mat Yie) dan Roslan Palapes (Lan).

Ketika rakan-rakan sebatch KAB mengikuti minggu orientasi di kolej, ambo dan beberapa rakan yang lain pula sibuk berlatih untuk malam persembahan. Persembahan tersebut bakal disaksikan oleh seluruh mahasiswa baru sebagai salah satu program dalam minggu orientasi. Boleh dikatakan kebanyakan program sempena minggu orientasi diadakan di DECTAR dan persembahan kebudayaan merupakan salah satu program berkenaan. 

Masa berlatih untuk mengadakan persembahan adalah amat singkat iaitu dua hari sahaja. Tetapi dengan pengalaman dan kebijaksanaan kedua-dua jurulatih iaitu Abe Din dan Joe Bbano, kesemua peserta yang menjalani latihan dengan cepatnya dapat menguasai apa yang diajar. Pada malam persembahan nanti, kumpulan dikir barat akan mempersembahkan dua genre lagu iaitu karut patani dan diakhiri dengan irama wau bulan. Bagi ambo yang sudah ada pengalaman tidak menjadi masalah cuma perasaan gementar tu ada la sebab persembahan itu nanti adalah di depan ribuan penonton. Satu perkara baru yang saya dapat pelajari dari persembahan di DECTAR ialah pengurusan pentas yang amat efisien. Inilah pertama kali saya akan membuat persembahan sambil dikeluarkan asap dan disinari lampu disco..hahaha...Pengurusan pentas pada malam persembahan itu juga dikendalikan oleh mahasiswa baru sambil ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai pusat kebudayaan.

Maka malam persembahan yang di tunggu-tunggu sudah tiba. Apabila dijemput kumpulan dikir barat untuk mengadakan persembahan, ambo dengan bergayanya keluar dengan penuh berkeyakinan. Di hadapan ambo adalah ribuan penonton yang memberikan tepukan gemuruh. Rasa gementar(orang kelate kato kenaling) sudah hilang secara tiba-tiba. Dalam hati ambo ketika itu ambo mesti tunjukkan yang terbaik demi memartabatkan seni dikir barat. Dengan tenangnya selepas bertabuh ambo melantun alunan: 

'Awe oh Awe' 
Mahasiswa Maju Jayo'

Ambo nok ghoyak ini maley
ingat pesey oghe tuo
(Yang ni je ingat..hehe)

Selepas selesai karut patani, ambo dendangkan irama Wau Bulan dan tanpa disangka-sangka satu DECTAR juga turut sama-sama menyanyikan lagu irama Wau Bulan. Kenangan ini ambo akan ingati sampai bila-bila dan merupakan permulaan kembara seni ambo di dunia kampus. Rasanya setakat ini sahaja coretan ambo. Di lain masa ambo akan coretkan lagi kenangan ambo di masa lalu terutamanya ketika berada di kampus UKM...

Wednesday, August 18, 2021

Sejarah KSSM Tingkatan 5, Bab 8: Membina Kemakmuran Negara (Pembentukan Dasar Pembangunan Nasional, DPN)


Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan dasar yang diperkenalkan selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990.

Jelaskan matlamat  dan yang yang ingin dicapai melalui DPN.

Antara matlamat DPN ialah mencapai perpaduan negara melalui pengagihan sumber kekayaan. Ia dapat dicapai melalui pembangunan seimbang antara negeri dan antara bandar dengan luar bandar melalui beberapa aspek.

Objektif DPN pula adalah untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dengan memperkukuhkan kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan.

Senaraikan strategi kerajaan dalam mencapai matlamat dan objektif DPN.

Ekonomi

-Penglibatan aktif pihak swasta dalam pembangunan ekonomi negara

-Program penanaman semula

-Penggunaan sains dan teknologi

-Meningkatkan pemilikan saham bumiputera

 Sosial

-Memberikan insentif serta kemudahan pendidikan untuk kemajuan masyarakat miskin tanpa mengira kaum.

-Mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian

-Membentuk masyarakat yang berdisiplin dan progresif.

Kemudahan Fizikal Dan Alam Sekitar

-Menyediakan dan menambah baik kemudahan asas

-Pembangunan mapan tanpa mengabaikan alam sekitar

 

Tuesday, August 17, 2021

Sejarah KSSM Tingkatan 4, Bab 1:Warisan Negara Bangsa (1.2 Ciri-Ciri Negara Bangsa Kesultanan Melayu Melaka)



Empayar Kesultanan Melaka Melaka
Sumber:wikipedia


Kewujudan institusi Kesultanan Melayu Melaka pada ke-15 menjadi asas pembinaan negara dan bangsa kita.

Terangkan ciri-ciri negara dan bangsa Kesultanan Melayu Melaka.

Ciri-ciri yang pertama ialah kerajaan. Kewujudan kerajaan disebabkan adanya raja yang merupakan pemerintah tertinggi dan dibantu oleh pembesar. Pemerintahan beraja diperkukuhkan lagi dengan Sistem Pembesar Empat Lipatan yang menjadi tonggak pentadbiran Melaka. Selepas kedatangan Islam, pemerintah Melaka menggunakan gelaran sultan

Ciri-ciri yang kedua rakyat yang merupakan penduduk yang menumpahkan kesetiaan kepada Sultan Melaka dan mematuhi undang-undang negeri. Rakyat Melaka terdiri daripada orang Melayu dan Orang Laut.

Seterunsya adalah kedaulatan yang menjadi lambing kekuasaan tertinggi seseorang sultan. Kedaulatannya diakui oleh kerajaan lain dan bebas daripada campur tangan asing.

Ciri-ciri yang ketiga ialah wilayah pengaruh yang merujuk kepada kawasan pemerintahan raja yang diterima dan diakui oleh rakyat. Wilayah pengaruh diperolehi melalui penaklukan, naungan dan perkahwinan. 

Sejarah KSSM Tingkatan 4, Bab 1:Warisan Negara Bangsa (1.1 Latar Belakang Negara Bangsa Sebelum Kedatangan Barat)

Kerajaan Alam Melayu Sebelum Era Kesultanan Melayu Melaka

1.1 Latar Belakang Negara Bangsa Sebelum Kedatangan Barat

Pembentukan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu berbeza daripada yang berlaku di Barat. Jelaskan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu.

Raja merupakan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu. Raja diperkukuhkan dengan sistem pentadbiran yang dibantu oleh pembesar. Raja ditaati oleh rakyatnya dan dianggap suci. Contohnya, Raja Champa dianggap sebagai pemerintah yang suci dan dikaitkan dengan Dewa Siva.

Ciri-ciri yang seterusnya ialah undang-undang yang dilaksanakan di seluruh wilayah pengaruh dan menjadi panduan dalam pentadbiran. Contohnya, kerajaan Majapahit mengamalkan undang-undang Kutara Manawa.

Ketiga ialah wilayah pengaruh iaitu kawasan yang rakyatnya menerima dan memperakui pemerintahan seorang Raja. Contohnya kerajaan Funan mempunyai wilayah pengaruh yang luas dari Sungai Mekong, Teluk Cam Ranh, selatan Myammar dan Segenting Kra.

Ciri-ciri yang terakhir ialah rakyat yang merujuk kepada penduduk sesebuah wilayah yang setia kepada raja dan tidak menderhaka seperti kesetiaan rakyat Srivijaya dibuktikan melalui upacara persetiaan dan meminum air sumpah.






 

Monday, August 16, 2021

Perkembangan Ilmu Sejarah Sebelum Abad Ke-19 (Fasa 1)

 

Ibnu Khaldun Sejarawan Ulung Islam Kurun ke-14

Sebelum ilmu sejarah diiktiraf sebagai salah satu disiplin ilmu pengetahuan[1], pensejarahan (penulisan sejarah) telah pun wujud berdasarkan konsep sosio-budaya dan kepentingan keperluan sezaman[2]. Sebagai contoh penghasilan karya sejarah Sulalatus Salatin oleh Tun Sri Lanang adalah kerana menjunjung perintah raja dengan tujuan supaya generasi mendatang  mengetahui sejarah asal usul kewujudan raja-raja. Pensejarahan yang di hasilkan ketika itu juga menjurus kepada memberi pengajaran dan iktibar kepada manusia tentang peristiwa yang telah berlaku seperti yang dinyatakan oleh Herodotus dalam karya Perang Persia.

Pensejarahan pra pensejarahan moden  walaupun ia masih belum diiktiraf sebagai disiplin ilmu pengetahuan namun ia  dapat dibezakan dengan ilmu-ilmu lain (seperti keagamaan, falsafah dan sastera) sebagai contohnya kebanyakan karya-karya sejarah mempunyai muqadimah yang khusus yang mempunyai unsur-unsur berkaitan dengan teori sejarah dan kaedah penyelidikannya seperti peristiwa, tokoh dan tempat yang diceritakan mempunyai sumber rujukan. Selain itu juga ia mengikut tertib tarikh atau kronologi.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang menyebabkan sejarah sebelum abad ke-19 tidak diiktiraf sebagai ilmu pengetahuan. Menurut  Athur Marwick terdapat tiga kelemahan yang besar iaitu karya-karya sejarah tersebut tidak merangkumi perkembangan dan perubahan manusia; kedua tidak berlaku kaitan atau hubungan antara karya-karya kesarjanaan yang penting dengan yang berbentuk tafsiran walaupun kedua-duanya terus sama-sama dihasilkan; ketiga, sejarah tidak diajarkan sebagai satu disiplin intelek yang lengkap kecuali di istana raja atau pembesar[3]. Pencampuran dengan unsur-unsur kesusasteraan, falsafah, lagenda malah dogeng dan mitos menambahkan lagi masalah untuk mengiktirafkan sejarah sebagai ilmu pengetahuan yang tersendiri.

Keadaan ini telah membawa kepada usaha untuk menjadikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan pada awal kurun ke-19 yang akhirnya telah digerakkan oleh sejarawan Eropah terutamanya di kalangan sejarawan Jerman. Dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr, akhirnya disempurnakan oleh Leopold von Ranke yang membawa kepada pengiktirafan sejarah sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri di Eropah dan membentuk apa yang dinamakan sebagai pensejarahan moden.



[1] Pensejarahan moden bermula pada awal abad ke-19 yang dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr dan seterusnya Leopold von Ranke melengkapkan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan.

[2] Muhd Yusof Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian Dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 20.

[3] Marwick, A, 1985, The Nature of History, edisi kedua, cetakan keempat, London: MacMillan Co., hlm.35

Sunday, August 15, 2021

Pengenalan Ilmu Sejarah

Herodotus yang dianggap Bapa Sejarah
Herodotus dianggap sebagai Bapa Sejarah Dunia
Sumber: metmuseum

 Istilah Sejarah

Istilah sejarah digunakan oleh sejarawan di Alam Melayu bagi merujuk kepada ilmu sejarah. Menurut Kamus Dewan, sejarah bererti sastera lama, asal usul (keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat tambo; tawarikh. R.O. Winstedt dalam kamusnya (Kamus Bahasa Melayu) menyatakan perkataan sejarah berasal daripada perkataan Arab yang diertikan sebagai salasilah, tawarikh dan babad. Ibrahim Alfian menyatakan perkataan Arab tersebut kemungkinan besar ialah syajaratun yang bererti pohon.

Istilah sejarah dikatakan digunakan pertama kalinya oleh Raja Ali Haji dalam karya Tuhfat Al Nafis. Namun begitu istilah hikayat, riwayat dan tawarikh sering digunakan oleh sejarawan Melayu dalam menamakan karya pensejarahan mereka sehinggalah awal tahun 1960-an istilah sejarah mula digunakan sehingga hari ini.

Istilah History

Istilah ini digunakan di Barat yang berasal daripada perkataan Yunani iaitu historia yang bererti penyelidikan[1].

W. E Cadwell menyatakan perkataan history yang berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud penyelidikan telah berubah maksudnya menjadi peristiwa yang telah berlaku pada masa yang lalu dan juga ingatan yang tercatat pada masa yang lalu.

Pengertian Sejarah

Sejarah diertikan sebagai peristiwa/kejadian/pengalaman/tingkah laku individu, pemimpin, institusi, pertubuhan, negara serta masyarakat yang telah berlaku pada masa lalu. Ia kemudiannya dihurai dan ditafsirkan melalui kaedah kajian yang sistematik yang menjadikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan. Ia diperolehi melalui ingatan seseorang (sejarah lisan/oral history), catatan laporan/dokumen yang dikenali sebagai sumber sejarah. 

Sebelum sejarah diiktiraf sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan, ia dianggap sebahagian daripada ilmu falsafah di zaman kegemilangan tamadun Rom Yunani dan sebahagian ilmu agama (Kristian) pada Zaman Pertengahan di Eropah. Ketika era kegemilangan tamadun Islam, sejarah adalah sebahagian ilmu agama dan sosial. Manakala di Asia Selatan dan Asia Tenggara sejarah dianggap sebahagian daripada ilmu kesusasteraan.

“Keistimewaan sejarah kerana ia sentiasa merangsang manusia untuk terus menyoal tentang KEADAAN, KEDUDUKAN serta KESEJARAHANNYA dengan harapan mendapatkan sesuatu MANFAAT atau FAEDAH daripadanya”

Muhd Yusof Ibrahim



[1] Penyelidikan adalah proses menghasilkan ilmu pengetahuan melalui penyaksian, pendengaran dan pemerhatian. Ilmu pengetahuan yang dihasilkan tanpa proses tersebut bukanlah imu pengetahuan yang sebenar malah hanya merupakan separa ilmu pengetahuan sahaja. 


 

 

Thursday, November 28, 2019

Bola Sepak Kelantan : Dari tahun 1952 hingga 1988




Logo Kelantan FA Era 1970-an
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan

Bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia. Walaupun Malaysia masih belum lagi layak ke pusingan akhir Piala Dunia namun sukan ini tetap menjadi sukan kegemaran nombor satu rakyat. Pertandingan bola sepak tertinggi negara seperti Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan beberapa lagi pertandingan menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak tanah air terutamanya apabila pasukan menjadi pesaing utama liga atau ketika berlangsungnya perlawanan-perlawanan penting seperti pertemuan 'rival', perlawanan kalah mati terutamanya separuh akhir dan perlawanan akhir dan sebagainya. Pertandingan utama bola sepak tempatan seperti Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sultan Haji Ahmad Shah(Piala Sumbangsih) dan Piala Presiden dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia ringkasnya FAM atau badan yang dilantik oleh FAM. Pertandingan-pertandingan ini di sertai oleh pasukan-pasukan kendalian persatuan negeri atau kelab-kelab bola sepak yang bergabung dibawah FAM.

Kelantan yang merupakan salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia turut mempunyai skuad bola sepak dalam saingan kejohanan bola sepak tempatan. Skuad Kelantan dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang telah ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadikan Stadium Sultan Muhammed IV sebagai venue utama pasukan yang boleh memuatkan kira-kira 30 000 penonton dalam tempoh satu  masa.

Stadium Sultan Muhammed IV
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan
Kelantan Era 1952-1978
Kelantan mula menyertai pertandingan bola sepak tempatan bermula pada tahun 1952. Pertandingan pada ketika itu adalah untuk merebut Piala HMS Malaya (bermula 1967 dikenali sebagai Piala Malaysia). Pertandingan Piala HMS Malaya ini telah pun bermula sejak tahun 1921 dan format pertandingan antara tahun 1921 hingga 1978 adalah berdasarkan kumpulan zon wilayah skuad yang bertanding. Asalnya hanya ada zon utara dan zon selatan sahaja. Apabila Kelantan dan Terengganu mengambil bahagian maka zon timur telah di wujudkan. Juara zon berkenaan akan bertemu di peringkat separuh akhir dan seterusnya pemenang peringkat separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir.

Kumpulan zon timur pada tahun 1952 hanya disertai oleh Kelantan dan Terengganu dan perlawanan diadakan secara kalah mati dan timbal balas. Dalam edisi sulung ini, Kelantan gagal ke pusingan seterusnya apabila kalah kepada Terengganu dengan agregat jaringan 5-4. Namun selepas edisi pertama, Kelantan telah mendominasi saingan sehingga tahun 1962. Dalam tempoh berkenaan berlaku beberapa perubahan seperti Perlis yang kali pertama menyertai pertandingan pada tahun 1953 diletakkan dalam kumpulan zon timur yang kemudiannya dipindahkan ke zon utara pada tahun berikutnya. Kekosongan yang ditinggalkan itu digantikan dengan pasukan Pahang yang sememangnya berada dalam wilayah yang sama iaitu zon timur atau lebih dikenali sebagai koridor pantai timur. Dalam tempoh ini juga Kelantan buat kali pertama mara ke perlawanan akhir pada tahun 1955 namun terpaksa akur kepada kehebatan Singapura tambahan pula perlawanan akhir tersebut berlangsung di kandang Singapura iaitu Stadium Jalan Besar dengan kehadiran 9000 penonton.

Skuad Kelantan Era 1950-an
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan
Dalam pertandingan edisi tahun 1963 hingga 1964, Kelantan telah diletakkan dalam kumpulan zon utara bersama Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis yang menyaksikan buat kali pertama semenjak tahun 1953 Kelantan gagal layak ke pusingan seterusnya. Walau bagaimanapun Kelantan kembali menggegarkan Piala HMS Malaya 1965 apabila kumpulan zon timur diwujudkan kembali dan mara ke peringkat separuh akhir antara zon. Edisi 1966 hingga 1967 menyaksikan kebangkitan Terengganu apabila menjuarai peringkat zon berkenaan dua tahun berturut-turut sebelum dikuasai semula oleh Kelantan pada tahun beikutnya. Bermula tahun 1967 pertandingan dikenali sebagai pertandingan bola sepak Piala Malaysia dengan menggunakan piala yang baru. Pada edisi 1969, Kelantan menjuarai peringkat kumpulan zon timur namun tewas di pusingan play off kepada Terengganu.

Finalis Piala Malaysia 1970
Scoreboard dibelakang membuktikan Kelantan membelasah Singapura 8-0 di separuh akhir
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan 
Memasuki tahun 1970, format pertandingan masih lagi format yang sama dan berlaku penambahan pasukan bagi kumpulan zon timur dengan kemasukan pasukan Angkatan  Tentera Malaysia (ATM). Tahun ini juga merupakan tahun gemilang buat Kelantan apabila mara ke perlawanan akhir bertemu Perak. Sebelum itu Kelantan telah membuktikan kehebatannya apabila menundukkan pasukan Singapura di peringkat separuh akhir dengan agregat  jaringan 10-2. Jaringan 8-0 keatas Singapura adalah kejayaan cemerlang Kelantan pada tahun 1970. Namun begitu Kelantan gagal membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu apabila tewas di tangan Perak 2-0. Pada tahun berikutnya Kelantan hanya mara hingga ke separuh akhir. Bermula tempoh 1972 hingga tahun 1978 telah menyaksikan kemerosotan Kelantan apabila gagal melepasi peringkat zon kecuali pada tahun 1975.

Skuad Kelantan 1984
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan 
Pada tahun 1979, format pertandingan telah diubah dan sistem zon telah dimansuhkan, digantikan dengan format sistem liga. Pertandingan edisi 1979 menyaksikan penyertaan pasukan negara jiran Brunei di samping Singapura yang sudah sekian lama berada dalam saingan dan menyaksikan pertama kali penyertaan pasukan Wilayah Persekutuan yang kemudiannya di kenali sebagai Kuala Lumpur. Empat pasukan teratas liga berentap di separuh akhir untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Dalam edisi pertama format 1979 Kelantan menduduki tempat keenam dan gagal ke peringkat seterusnya. Tahun berikutnya Kelantan menduduki tempat keempat dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Edisi 1981 meyaksikan sedikit perubahan apabila pusingan suku akhir diperkenalkan yang membolehkan lapan pasukan teratas liga meneruskan saingan. Kelantan yang menduduki tempat keenam telah layak ke peringkat suku akhir.

Edisi 1982 sekali lagi menyaksikan perubahan  format pertandingan apabila pasukan yang menduduki tempat teratas liga diiktiraf sebagai juara liga dan mendapat piala liga. Namun begitu format pertandingan tetap sama seperti edisi 1981. Dari tahun 1983 hingga 1988, Kelantan kecuali tahun 1985 sentiasa layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan pernah berada dalam kelompok tiga terbaik liga iaitu pada tahun 1983 dan 1988.

Skuad Kelantan 1988
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan

Kesimpulan yang dapat dirumuskan bahawa skuad Kelantan semenjak menyertai pertandingan bola sepak tempatan merupakan pasukan yang mempunyai rekod yang sangat cemerlang terutamanya era tahun 1950-an, 1960-an dan 1980-an. Walaupun mengalami kemerosotan dalam sekitar tahun 1970-an namun dalam era tahun 1980-an Kelantan kembali menjadi antara pasukan yang mencabar pasukan-pasukan handal terutamanya Selangor yang dibarisi pemain-pemain bintang. Kelantan juga turut melahirkan pemain-pemain ternama dan menjadi pemain skuad kebangsaan seperti Dali Omar, Wan Zawawi Wan Yusof, Mahadi Yusof, Hamid Ramli, Kamarudin Mohd Nor, Salim Mahmud, Hashim Mustapha dan ramai lagi. Menjelang dekad 1990-an FAM telah memperkenalkan Liga Semi Pro bagi menggantikan format pertandingan sebelumnya. Jadi bagaimana prestasi  skuad Kelantan pada era Semi Pro??...bersambung...


Wednesday, November 27, 2019

Cikgu Isey Kota - Rosalinda


Sejarah Kelantan : Peranan Kesultanan Kelantan Menegakkan Syariat Islam


Istana Jahar: Dibina semasa pemerintahan Sultan Muhammad II
Kemasukan Islam Ke Kelantan
Beberapa pendapat telah dikemukakan mengenai kemasukan Islam ke Kelantan. Antaranya ialah Islam semenjak abad ke-12 telah dianuti oleh penduduk Kelantan dengan penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan yang tertera perkataan Arab iaitu كلنتن الجلوس Ù¥Ù§Ù§ (Al-Julus Kelantan 577) dan disebelahnya pula tertulis  Ø§Ù„متوكل (Al- Mutawakkil). Menurut  Wan Husain Azmi: 
“Perkataan لجلوس bermaksud duduk dan dari istilah “menduduki” singgahsana. Angka Arab 577 H bersamaan 1161 M.. Al-Mutawakkil itu gelaran pemerintah pada masa itu. Dari analisa yang ringkas itu ternyatalah di Negeri Kelantan  telah terdiri satu pemerintahan Islam pada tahun 577 H bersamaan dengan 1161 M dan rajanya bergelar Al-Mutawakkil yang ertinya orang-orang yang bertawakkal iaitu bertawakkal kepada Allah”.
Penemuan dinar tersebut menunjukkan Kelantan lebih awal menerima Islam daripada Melaka kerana pembentukan kerajaan Melaka adalah pada abad ke-15. Bukti Islam telah sampai ke Kelantan semenjak abad ke-12 dibuktikan lagi dengan pengembaraan Ibnu Batutah yang singgah di Kelantan iaitu di Kilu Kerai dan menemui seorang raja perempuan yang telah menganut agama Islam yang bernama Urduja.

Perlaksanaan Syariat Dan Nilai Hidup Islam Sebelum Era Penjajahan
Pemerintah Kelantan dari tahun 1432 M sehingga ke era keturunan Long Yunus terdiri daripada pemerintah yang beragama Islam. Terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah” Kelantan dalam era ini telah beberapa kali menjalankan hukum mengikut al-Quran seperti zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886M-1889M) dan Sultan Mansor (1890M-1900M) walaupun tidak semuanya undang-undang Islam itu di amalkan. Perlaksanaan hukum Islam di Kelantan juga dinyatakan oleh Hugh Clifford dalam catatannya iaitu:
“The law is administered on the same lines as those which followed in Terengganu, but the barbarous punishment of mutilation hand for theft and many of other cruel enactment of Hukum Syara' are still enforced in Kelantan.”
Walaupun kenyataan Clifford sangat prejudis terhadap hukum Islam, namun kenyataan beliau ini menjadi bukti bahawa pemerintah-pemerintah Kelantan dalam era ini telah melaksanakan hukum Islam sebagai perundangan utama Kelantan.

            Dalam era ini, golongan ulamak berada dalam kelas yang sangat istimewa. Mereka bertindak sebagai penasihat kepada pemerintah-pemerintah Kelantan disamping memberi pelajaran agama kepada ahli-ahli kerabat diraja dan masyarakat Kelantan. Antara golongan ulamak yang diangkat menjadi penasihat kepada pemerintah Kelantan pada era ini terutama era awal keturunan  Long Yunus ialah Syeikh Haji Abdul Halim.

            Syeikh Haji Abdul Halim merupakan anak angkat kepada Long Yunus dan menjadi penasihat kepada Sultan Muhammad I. Atas nasihat dan dorongan beliau, Sultan Muhammad  I telah mempergiatkan pembangunan hal ehwal agama Islam di Kelantan. Sultan Muhammad I telah memberi galakan kepada rakyat supaya mendirikan madrasah, surau dan wakaf sebagai tempat persinggahan.Atas nasihat dan dorongan Syeikh Haji Abdul Halim juga, Sultan Muhammad I telah mengarahkan di dirikan rumah-rumah wakaf di Mekah, Jeddah dan Madinah.

       Apabila Sultan Muhammad II menaiki takhta pada tahun 1839, satu perubahan besar yang dilaksanakan oleh Sultan Muhammad II iaitu segala dasar perundangan hendaklah berteraskan hukum syariat Islam. Hal ini telah dinyatakan dalam Hikayat Seri Kelantan iaitu:
            “Raja Kelantan banyak  menurut hakim Allah – mencuri hukum dengan hakim Allah, potong tangan dan bunuh dibunuh balas. Ada setengah yang laka patut diqisas-qisas dan patut [de]nda mengikut hakim Allah. Itulah hukum Kelantan daripada raja dahulu serta lantikan kadi dan Tuan Abdul Rahman Muda, anak Pak Wan Othman, cuncu  Tun Wan Ramat, jadi mufti dan Syed Jaafar hakim; Nik Jid, Nik Ya, jadi kelengkap hakim, Wan Abdul Kadir jadi semaian.”
Petikan diatas juga menunjukkan bahawa selain melaksanakan hukum syariat Islam, Kelantan juga mempunyai jentera yang melaksanakan hukum berkenaan dengan adanya jawatan mufti, kadi dan sebagainya. Di peringkat daerah atau mukim, para Imam pada ketika itu bukan sahaja bertindak dalam memimpin hal ehwal keagamaan tetapi berperanan sebagai pentadbir sesebuah mukim sebelum kewujudan jawatan Tok Kweng. Menurut William R. Roff:

            "In addition, for much of the century, they appear to have had general administrative oversight of other matters arising in the mukim, or parish area, including the alienation of land, supervision of produce taxes and assessment and collection of the triennial banchi or poll-tax".
Pada zaman Sultan Muhammad II juga telah dibangunkan masjid yang besar di Kota Bharu yang dikenali sebagai masjid kayu. Masjid ini siap pada 1867 dan berfungsi sebagai tempat masyarakat menunaikan solat jemaah dan tempat menuntut ilmu pengetahuan agama Islam.

Era Sultan Ahmad (juga dikenali sebagai Sultan Tengah) memperlihatkan ketegasan baginda dalam mengawal unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah masyarakat Kelantan. Antaranya ialah pengharaman aktiviti kebudayaan yang bercanggah dengan syariah Islam seperti yang diterangkan dalam Hikayat Seri Kelantan:

         “Hingga sampai Sultan Ahmad, dilarang menorah, makyung dan segala haram  semuanya ikut hukum Allah”.
Selain itu juga Sultan Ahmad amat menekankan bidang pendidikan Islam kepada rakyat. Baginda telah menggunakan kuasanya menitahkan rakyat supaya mempelajari ilmu pengetahuan Islam seperti keterangan dalam Hikayat Seri Kelantan yang menyatakan:

            “…sangat kuat disuruh sekalian orang-orang belajar hukum Allah, serta sultan suruh imam Nik Haji Wan Daud membaca hadis tiap hari Selasa, berhimpun ramai mendengarnya diperintah oleh sultan”.
       Kedudukan syariat Islam sebagai sumber perundangan Kelantan telah diperkukuhkan lagi semasa pemerintahan Sultan Muhammad III apabila baginda mengarahkan agar dikuatkuasakan syariat Islam dalam acara guaman sama ada jenayah mahupun mal. Baginda bagaimanapun tidak menghalang undang-undang adat dilaksanakan asalkan tidak berlawanan dengan prinsip-prinsip syariat Islam.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansor, perlaksanaan syariat Islam mencapai kemuncaknya apabila baginda menguatkuasakan hukum hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh. Selain itu juga baginda turut memperkenalkan etika berpakaian berlandaskan syarak. Muhammad Husain Khaliei Haji Awang menyatakan bahawa:

“Sebagai seorang raja yang terkenal wara’, berjiwa besar dan maju, Duli Yang Maha Al-Sultan Mansor tidak ingin melihat sebarang perbuatan yang bertentangan dengan hukum syara’, baginda tidak senang melihat rakyat jelatanya memakai pakaian-pakaian yang tidak teratur dan membuka aurat, lalu baginda pun menitah kepada setiap lelaki memakai kain sarung dan baju teluk belanga untuk mengganti pakaian lumrah pada zaman itu iaitu sehelai kain lepas diikat bengkung dan sehelai tengkolok (kain setangan) serta diselit sebilah keris dan setiap perempuan pula hendaklah memakai kain sarung, baju kurung dan sehelai kain tudung kepala menggantikan pakaian perempuan yang lumrah itu ialah sehelai kain sarung berkemban (kain yang dibelit di bawah ketiak menutupi bahagian belakang dan dada seperti yang dipakai oleh perempuan-perempuan Bali”.
            Dalam tempoh masa 1900-1902 iaitu semasa era Sultan Muhammad IV beberapa peraturan baru berlandaskan syariah Islam diperkenalkan. Antaranya ialah tindakan saman ke atas mereka (lelaki) yang tidak hadir solat Jumaat tanpa ada sebab yang munasabah, hukuman ke atas mereka yang tidak menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan dan hukuman ke atas kesalahan berkhalwat. Dalam memantau kehadiran solat Jumaat, satu jawatan yang dikenali sebagai Pemeriksa Jumaat telah diperkenalkan.

            Secara umumnya bermula dari era pemerintahan Long Yunus sehingga ke era sebelum penjajahan boleh dikatakan bahawa syariat Islam telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kesultanan Kelantan. Namun apabila Sistem Penasihat Siam diperkenalkan pada tahun 1903 dan seterusnya ke era campur tangan British pada tahun 1909, undang-undang Islam hanya dihadkan kepada undang-undang keluarga sahaja.           






Thursday, October 10, 2019

Jogho Jusoh Kelong - Ku Simpan Di Hati


Sumber : Youtube

Ku simpan dihati segala janji
Ku puja ku puji
Mengapa aku, kau tidak peduli
Semasa dulu nak sehidup semati

Berubah cara berubah janji
Tidak ku sangka akan terjadi
Lain di mulut lain di hati
Inikan balasan kasih yang sejati

Jangan engkau meninggikan diri
Pandanglah dulu kanan dan kiri
Dimana kau datang kemana kau nak pergi
Sebelum terlewat fikirlah di hati

Kalaulah renung dilangit yang tinggi
Bulan dan bintang cahya berseri
Bumi dipijak hilang sekali
Kuberi susu tuba dibalas ganti

Sudahku cuba telah ku kaji
Di sangka permata intan baiduri
Indahnya cahya mutunya tinggi
Rupanya kaca tak berharga lagi

Wednesday, October 9, 2019

Pertandingan Akhir Dikir Barat IPT MAKUM 2006








Berada di final merupakan kepuasan buat ambo. Dari tahun 2001 hingga 2006 inilah pencapaian terbaik saya dikir barat. Namun kami terpaksa akur apabila pasukan hanya mendapat naib johan dalam pertandingan berkenaan.

Sumber : Youtube
Sumber : Youtube
Sumber : Youtube
Sumber : Youtube

Pertandingan Dikir Barat IPT Lembah Kelang 2005


Pertandingan anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Permulaan saya bersama Tunas Warisan, pada masa ini tok jogho @ juara adalah Zaid Ismail (Pok Id) dan tukang karutnya Zahari Saamah (MdSome). Ambo selaku pemain rebana anak. Alhamdulillah kami mendapat Johan.

Sumber : Youtube

Pertandingan Dikir Barat IPT MAKUM 2006 Peringkat Saringan



Diperingkat saringan kami berjaya melepasinya dan mara ke peringkat akhir.

Sumber : Youtube
Sumber : Youtube

Sejarah Perkembangan Dikir Barat


Perkembangan dikir barat dikatakan bermula dalam awal era 1940-an iaitu ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Fakta ini dikemukakan oleh Saedah Daud dalam temubual beliau dengan tokoh ulung yang merupakan pengasas dikir barat Haji Mat Salleh  Bin Haji Ahmad atau di kenali sebagai Pak Leh Tapang. Pada awalnya Pak Leh bergiat aktif dalam kumpulan dikir rebana Kampung Tapang dan beliau seterusnya membuat inovasi dalam permainan dikir rebana dengan membawa masuk unsur-unsur dikir  Selatan Thai dengan menambah pantun-pantun.  Pak Leh sekali lagi membuat perubahan dengan memasukkan elemen “karut” yang seterusnya membawa kepada perbezaan dengan dikir rebana dan akhirnya membawa kepada kemunculan dikir barat itu sendiri. Dengan ini telah melonjakkan nama Pak Leh sebagai pencipta seni dikir barat.

Haji Mat Salleh Bin Ahmad @ Pak Leh Tapang
Sumber : http://adisaufi.blogspot.com/2010/05/pak-leh-tapang-pengasas-dikir-barat.html

Pak Leh seterusnya telah bergabung dengan kumpulan dikir rebana yang diketuai oleh Dollah Belimbing dan mengadakan persembahan bersama.  Dalam sekitar tahun 1946, Pak Leh bersama Dollah Belimbing telah berpakat untuk mengadakan satu persembahan dalam bentuk berlawan (hatuk) antara dua kumpulan secara olok-olok. Pak Leh membawa kumpulannya dari  Kampung Tapang manakala Dollah Belimbing dengan kumpulan Kampung Belimbing. Mereka berdua berpura-pura berkelahi  sehingga tidak bersalaman antara satu sama lain semata-mata untuk menarik minat orang ramai. Tok jogho (juara) kumpulan Pak Leh ialah Jaafar Wakaf Mek Zainab, sementara tok jogho kumpulan Dolah ialah Husin Pulau Tebu.  Pak Leh dan Dolah bertindak sebagai tukang karut.  Persembahan ini merupakan sejarah pertama dalam dikir barat, dua kumpulan berlawan dan persembahan itu dalam bentuk berbalas pantun yang digunakan untuk mengata dan menyindir pihak lawan.

Bermula dari situ mereka sering mengadakan persembahan kerana dijemput oleh para peminatnya untuk berdikir di kampung mereka. Akhirnya perjanjian sulit ini terpaksa dipecahkan kepada orang ramai kerana penyokong kedua-dua pihak berkelahi, masing-masing mendakwa kumpulan yang mereka sokong lebih sedap dan menarik persembahannya.  Rahsia mereka tidak berkelahi ini diberitahu semasa mengadakan persembahan di kampung Tawang, Kota Bharu.  Bermula dari pakatan sulit inilah menjadikan dikir barat semakin diminati dan berkembang.  Orang makin gemar menonton untuk melihat dua kumpulan dikir barat berbalas kata dan sindir menyindir antara satu sama lain dalam bentuk berbalas pantun.



Monday, August 19, 2019

Warna Warni Tunas Warisan 2002-2019



(kredit:Tunas Warisan)

Tahun 2002 merupakan tahun yang bersejarah bagi perkembangan seni dikir barat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila tertubuhnya Kelab Dikir Barat Tunas Warisan Artisukma UKM. Sehingga tahun 2019 mengikut perkiraan ambo, Tunas Warisan sudah sampai ke generasi ke-16 dan ambo pula berada di generasi ke-4. Dalam tulisan kali ini, ambo akan cuba mengisahkan  bagaimana Tunas Warisan ini tertubuh di UKM.
Generasi 2002-2003
Mengikut apa yang diceritakan oleh pengasas dan bekas Yang Dipertua (YDP) Tunas Warisan yang pertama En Ridzuan@Cikgu Wan, kelab ini ditubuhkan sebagai platform kepada pelajar-pelajar seluruh UKM yang berminat untuk bergiat dalam kesenian dikir barat. Pada ketika itu kelab dikir barat yang aktif hanya ada di Kolej Kediaman Ungku Omar (dikenali sebagai KUDRAT) dan terhad penyertaannya kepada penghuni kolej berkenaan sahaja.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Cikgu Wan bersama rakan-rakan beliau seperti Afizul@Joe Bbano, Azlan, Faisan dan Faizal telah merangka  kertas kerja menubuhkan kelab dikir barat UKM dan Cikgu Wan mengetuai misi berkenaan. Hasrat menubuhkan kelab berkenaan telah mendapat sokongan yang padu daripada Encik Burhanudin@Abang Din yang merupakan jurulatih ko kurikulum dikir barat dan alumni UKM yang pernah terlibat dalam arena dikir barat di UKM.

Rentetan daripada itu, maka usaha mencari seberapa ramai ahli dijalankan. Masing-masing berusaha menampal iklan di setiap kolej kediaman di seluruh UKM. Manakala Abang Din memainkan peranan menarik pelajar-pelajar kelas dikir barat beliau untuk menyertai Tunas Warisan.
Generasi 2004-2005
Menyertai Pertandingan Dikir Barat IPTA 2005 di USM


Seterusnya, satu perjumpaan telah diadakan di salah sebuah bilik kuliah Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK) dan kehadirannya adalah seramai 60 orang. Didapati sebahagian besar yang hadir adalah pelajar dari Kolej Kediaman Burhanuddin Helmi yang sebenarnya sudah ada pasukan dikir barat yang dikenali sebagai Pusaka Naim. Penyertaan ahli  Pusaka Naim dari kolej berkenaan merupakan titik penting yang membawa kepada penubuhan Tunas Warisan.

Generasi 2005-2006
Naib Johan IPTA Makum 2006

Pertemuan pertama kali di FSSK itu telah secara automatik menjadi mesyuarat penaja bagi menubuhkan kelab. Pelbagai nama telah dicadangkan dan mesyuarat berkenaan bersetuju untuk menamakan kelab dengan nama “MERAK MAS”.  Mesyuarat berkenaan juga bersetuju sebulat suara melantik Cikgu Wan selaku YDP dan Joe Bbano sebagai Naib YDP. Abang Din pula dilantik sebagai penasihat kelab. Walau bagaimanapun selepas diadakan perbincangan akhirnya nama kelab telah diubah kepada “TUNAS WARISAN”.

Tindakan selanjutnya adalah mendaftarkan Tunas Warisan dibawah Pusat Kebudayaan UKM. Dato’ Dr Rafie Mohammad selaku Ketua Pusat Kebudayaan UKM ketika itu telah bersetuju dan meluluskan permohonan menubuhkan kelab Tunas Warisan.  Kelab Tunas Warisan telah menjadi sebahagian daripada Pusat Kebudayaan UKM dan diletakkan dibawah Artis UKM atau dikenali sebagai ARTISUKMA. Tunas Warisan juga turut diberikan sebuah bilik khas, peralatan muzik dan alat siaraya.

Generasi 2007-2008
Johan IPTA MAKUM 2007

Kini setelah genap 17 tahun, Tunas Warisan telah melalui zamannya selangkah demi selangkah. Walaupun generasi silih berganti, namun Tunas Warisan masih lagi meneruskan kegiatan dikir baratnya sama ada di dalam mahupun luar kampus walaupun ada beberapa kelab/kumpulan dikir barat dari universiti lain telah berubah namanya mengikut generasi pelajarnya. 

TERIMA KASIH BUAT SEMUA GENERASI TUNAS WARISAN, ANDA SEMUA ADALAH PEJUANG SENI BUDAYA BANGSA....


GENERASI 2009-2010
Johan IPTA FESTKUM 2009
 kredit:Sham Toofik


GENERASI 2011-2012
kredit :  tunas warisan chatting zone
kredit: Mohd RosiDi

GENERASI 2013-2014
Kredit :Zulhilmi Abdul Majid

GENERASI 2014-2015
Kredit: MOhd Farteahe Bin Ibrahim
Wan Suara Emas disebelah kiri Poyie Gasi
antara otai yang masih aktif dan setia
bersama Tunas Warisan

Era ini Tunas Warisan dikepalai oleh penghibur/ pendikir popular masa kini, Poyie Gasi yang ketika itu menyambung pelajaran peringkat sarjana di UKM
Kredit : Poyie Gasi





GENERASI 2016-2018



 Johan Dikir Barat Terbuka IPT KPDNKK 2016
Mohd Hafiz Halily merupakan satu-satunya tukang karut yang bukan berasal dari wilayah Pantai Timur yang berjaya mengangkat Tunas Warisan era ini, juga merupakan pelajar cemerlang dan seorang yang versatil.
Rujuk KAMPUS UOLS

Tempat Ketiga MAKUM 2016
Kredit :Mohd Hafiz Halily
Kredit; kolej aminuddin baki ukm
Majoriti ahli Tunas Warisan pada era ini adalah dari Kolej Aminuddin Baki     
       
GENERASI 2019



Nota:
Mengikut maklumat yang ambo terima, pertandingan dikir barat pertama kali diadakan pada tahun 1996 yang dianjurkan oleh USM kampus induk Pulau Pinang. USM sehingga tahun 2005 adalah penganjur/tuan rumah tunggal pertandingan sebelum pertandingan diambil alih oleh Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) pada tahun 2006. Bermula tahun 2006 pertandingan dikir barat dikenali sebagai Pertandingan Dikir Barat  IPTA MAKUM dan selama dua tahun berturut-turut Kolej Universiti Sains dan Teknologi (KUSTEM) atau sekarang dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjadi tuan rumah bagi tahun 2006 dan 2007.





Pada tahun 2009 berlaku perubahan apabila MAKUM telah memperkenalkan Festival Kebudayaan Universiti Malaysia (FESTKUM) yang mempertandingkan beberapa acara kesenian dan dikir barat antara kesenian yang dipertandingkan. Universiti yang memenangi paling banyak acara kesenian akan diangkat sebagai johan keseluruhan (lebih kurang macam kejohanan sukan). Tuan rumah pertama FESTKUM adalah UKM pada tahun 2009 dan diikuti oleh USM pada tahun berikutnya. Selepas tahun 2010 tiada kedengaran lagi pertandingan FESTKUM dan ia telah memberi kesan kepada pertandingan dikir barat apabila tiada pertandingan dikir barat selama 6 tahun.

Namun pada tahun 2015, dikir barat telah dipertandingkan semula di peringkat IPT dan kali ini dikenali sebagai Pertandingan Dikir Barat Antara IPT Piala YB Dato' Seri Mustapa Mohamed sebelum diubah nama pertandingan kepada Pertandingan Dikir Barat IPT Malaysia. Bermula tahun 2015 hingga tahun 2019, satu-satunya tuan rumah pertandingan adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.