Sudah lama ambo tidak menulis perkara yang berkaitan dengan seni dikir barat. Bukan kerana kurang berminat tetapi keterbatasan waktu dan idea menjadi rintangan kepada ambo. Jadi ambo sudah mendapat ilham dan mood untuk menulis kembali perihal berkaitan dengan seni warisan yang sebenarnya menjadi roh dan darah daging kepada ambo iaitu dikir barat.
Kali ini ambo akan berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan alat muzik dikir barat. Pada peringkat awal perkembangan Dikir Barat, ia hanya menggunakan satu alat audifon sahaja iaitu kerecek atau kepingan-kepingan buluh yang diketuk bersama untuk menghasilkan rentak irama dikir barat. Sehingga ke hari ini terdapat lima alat muzik yang menjadi instrumen asas dalam persembahan dikir barat iaitu rebana ibu, rebana anak, gong atau tetawak, canang, marakas atau buah romba, tamborin dan kesi.
Rebana Ibu
Satu ketika dahulu termasuk ambo, ambo memanggilnya sebagai gendang ibu. Namun selepas berkecimpung sekian lama dalam dikir barat ia bukan gendang tetapi dikenali sebagai rebana. Ini kerana terdapat perbezaan antara rebana dan gendang. Rebana ialah alat muzik yang berbentuk bulat, separa kon seupama cawan dan mempunyai satu permukaan. Gendang pula berbentuk memanjang dan mempunyai dua permukaan dan kedua-dua permukaan berfungsi untuk dipalu.
Berbalik kepada rebana ibu, ia merupakan alat muzik terpenting dan utama dalam persembahan dikir barat. Paluan rebana ibu umpama tulang belakang kepada persembahan dikir barat. Jika tiada paluan rebana ibu maka persembahan dikir barat dianggap tidak sempurna. Pemain rebana ibu juga merupakan antara watak penting yang menghidupkan persembahan dikir barat selain tukang karut, tok juara dan awak-awak.
Dari segi pembuatannya rebana ini mempunyai
satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada
badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan
dibuat daripada kayu yang di dalamnya
berukuran kira-kira antara lima hingga ke enam inci. Untuk menegang kulit rebana, pancang kayu atau
baji digunakan di antara cincin dan bahagian bawah badannya beserta diketatkan
lagi dengan seutas rotan kecil yang dimasukkan di bahagian bawah belulang
dengan permukaan badan rebana dengan menggunakan kayu yang berbentuk tirus pada
bahagian hadapan yang dipanggil baji.
Baji Rebana Ibu/Anak |
Terdapat tiga paluan asas dalam paluan rebana ibu iaitu paluan membo, paluan dangdut dan paluang cincang.....bersambung....
No comments:
Post a Comment