Sunday, October 21, 2018

Dikir Rambong & Pikir-Pikir cover by Ise Kota

Kembara Seniku II

SMK KOTA: Rosalinda Dalam Ingatan 

Dewan Kota Jelasin, SMK Kota


Perjalanan ambo dalam seni dikir barat terhenti seketika semasa berada di tingkatan lima di SM Teknik Bachok. Ini kerana polisi sekolah tersebut melarang penglibatan murid tingkatan 5 dalam pertandingan-pertandingan luar terutamanya apabila persekolahan memasuki bulan Jun. Jadi ambo cuma melihat dari jauh sahaja perjalanan pasukan dikir barat SM Teknik Bachok yang seterusnya digerakkan oleh junior-junior. Pada tahun junior-junior ni lah, pasukan SM Teknik Bachok mencapai kejayaan muncul johan daerah pertandingan anti dadah tahun 2002 dan mendapat tempat keempat di peringkat negeri. Pada tahun berikutnya mengekalkan kemenangan dan mendapat naib johan peringakt negeri. Junior-junior ni beruntung kerana dipimpin oleh tok jogho yang sudah ada nama diluar sana. Jijie Sogho Emas adalah ketua atau ppalo kumpulan sesi 2002-2003. Dengan pengalaman yang ada pada beliau, pasukan SMT Bachok telah jauh melangkah meninggalkan jauh batch-batch sebelumnya. Disini ambo belajar banyak perkara, macam mana mahu melatih pasukan dikir barat. Jijie ni sangat hebat bukan sahaja seorang tok jogho malah mempunyai kebolehan melatih dari semua segi. Beliau juga dikatakan salah seorang murid kepada lagenda tok jogho Allahyarham Megat Nordin.

Berbalik kepada diri ambo memang terasa sangat-sangat bila tidak dapat lagi menyertai pasukan dikir barat. Disebabkan terlalu rindu, ambo ada mohon untuk main gong semasa persembahan malam merdeka tahun 2002. Masa tu ambo pakai topi petani supaya orang tidak perasan akan ambo. Dan semasa mereka pergi bertanding ambo ikhtiar pujuk cikgu Fauzi Mat agar beri kebenaran untuk ambo ikut sekali. Ada satu masa semasa kursus subjek Bahasa Melayu SPM di Tok Bali (padan muka sapa suruh dapat D masa trial...hehehe) ambo sungguh-sungguh minta cikgu Fauzi Mat benarkan saya ikut tapi dia tak bagi. Sedih sangat-sangat tapi akhirnya masa dia naik kereta nak balik tiba-tiba dia panggil ambo ikut balik ke asrama. Bukan main suka ambo, tapi bila fikir balik kenapa ambo desak cikgu...hmm..mungkin cikgu kesian pada ambo. Terima kasih cikgu atas segalanya(Cikgu Fauzi Mat bukan sekadar guru penasihat dikir barat tapi beliau juga guru kelas ambo semasa di tingkatan 4, cikgu sentiasa dalam ingatan ambo, bila la agaknya dapat jumpa cikgu).

Bila tamat SPM kegiatan berdikir ambo tidak berjalan sehinggalah ambo masuk belajar tingkatan 6 di SMK Kota (sekolah asal ambo nieh, umpama ikan balik lubuk).  Selepas ambo tinggalkan sekolah Kota pada tahun 2001, SMK Kota telah menubuhkan pasukan dikir barat. Bila ambo pulang balik ke SMK Kota berlaku kekosongan apabila kebanyakan ahli-ahli lama sudah melanjutkan pelajaran ke tempat lain. Keterlibatan ambo di SM Teknik Bachok dulu sudah diketahui rakan-rakan di Kota dan secara automatik ambo diangkat menjadi ketua atau ppalo di SMK Kota. Cikgu penasihat ambo di SMK Kota, Cikgu Hashim (beliau guru subjek Seni Visual ambo yang komited, alhamdulillah STPM, PSV dapat B+ walaupun lukis tak pandai mana...hehehe). Persembahan pertama adalah pada hari guru. Berbeza dengan SMT Bachok, murid di SMK Kota sangat ramai hingga melimpah ke luar dewan tambah ada ramai kanak-kanak riang...hihihi(murid ting. 1 dan 2). Mula buat persembahan seperti biasalah kilat sambar menyambar mengena muka ambo. Dan satu lagu nyanyian ambo telah menggamatkan dewan, lagu bertajuk ROSALINDA(masa tu drama ni top dalam tv, lirik dia ambo tak ingat dah). Lepas persembahan tu, satu sekolah panggil ambo Rosalinda...hehehe...(lepas next year panggil Khai pulak sebab buat persembahan nyanyi dambaan pilu..hihi..koya). Lepas persembahan hari guru tu macam-macam persembahan antaranya persaraan guru, hari merdeka dan banyaklah kalau cerita. Disebabkan dikir dengan ambo tak dapat dipisahkan, ada cikgu semasa saya bersyair tanya "awok syair ke awok berdikir ni"....hahahaha...



Saturday, October 20, 2018

Watak-Watak Persembahan Dikir Barat

Tukang karut merupakan orang yang terpenting dalam persembahan dikir barat. Istilah tukang karut ini di popularkan oleh pelopor dikir barat sendiri, Pak Leh Tapang. Sesuatu persembahan dikir barat sama ada baik atau tidak adalah bergantung kepada tukang karut. Tukang karut selalunya dari mereka yang berkebolehan dan mempunyai kemahiran menggunakan kata-kata dengan berlagu secara spontan dan bersahaja dalam bentuk pantun atau syair. Tukang karut biasanya mempersembahkan karutnya mengikut tema pantun tok juara atau atas kehendak penganjur persembahan.  Antara tukang karut yang terkenal selain Pak Leh Tapang ialah Seman Wau Bulan (Irama wau bulan yang dipopularkan beliau menjadi penutup persembahan dikir barat), Dollah Kulat Malam, Awang Ikan Duyong, Hussin Gelang Mas, Jemi Bukit Marak, Jen Endoro, Tuan Kob Raja Saring, Cikgu Sulizi, Cikgu Naim, Mie Gajah Putih dan ramai lagi.

Tukang karut membuat persembahan


Tok juara atau jogho merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan dikir barat.  Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut, ini bersesuaian dengan istilah juara yang bermaksud mendahului persembahan melalui lagu awalnya (Muhammad Fauzi Yunus. 1990). Suara tuk juara yang baik memepunyai suara vokal yang merdu boleh menaikkan semangat tukang karut dan Awak-awak pasukannya.  Tema yang didikirkan oleh tuk juara selalunya menjadi panduan kepada tukang karutnya mengarut, kerana selepas tuk juara berdikir, tugas diambil alih tukang karut pula.  Tok juara merupakan ketua dan guru kepada seluruh awak-awaknya, sebab segala bentuk dikir merupakan suara latar atau korus yang diperlukan adalah dari ajaran tok juara, tetapi tukang karut tidak terikat oleh mana-mana tuk juara dan awak-awak. Lagu dan seni kata dikir adalah hasil dari ciptaan sendiri.  Awak-awaknya mendapat latihan terlebih dahulu sebelum satu-satu persembahan dikir barat diadakan. Lagu- lagu juara biasanya dicipta oleh tok juara sendiri. Antara tok juara terkenal adala Jusoh Kelong, Salleh Jambu, Ripin Ana, Daud Bukit Abal, Megat Nordin, Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamour dan ramai lagi.

Tok Juara atau jogho mempersembahkan pantun juaranya

Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu persembahan dikir barat. Semasa persembahan dikir barat, awak-awak duduk dalam satu bulatan secara berkelompok atau duduk dalam keadaan berbaris supaya suasana dan suara mereka berpadu ketika membentuk korus sambil bertepuk tangan. Gelaran awak-awak ini diambil dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam, sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil ‘Jeragan’, jadi keadaan ini disesuaikan dengan awak-awak dalam kumpulan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka iaitu Tok Juara. Tugas awak-awak dalam satu persembahan dikir barat ialah mengikut atau mengulangi beramai-ramai senikata atau korus lagu yang didendangkan oleh tok juara. Awak-awak ini akan mengeluarkan suara dengan kuat serta padu dan bertenaga sehinggakan dapat menaikkan semangat atau angin pendikir atau awak-awak tok juara serta tukang karut sendiri. Dengan kata lainnya awak-awak ialah berperanan sebagai suara latar atau korus bagi dikir barat.

Awak-awak sedang berdikir

Pemuzik juga merupakan watak yang melengkapkan sesebuah persembahan dikir barat. Pada zaman awal perkembangan dikir barat, alatan muzik dikir barat hanya rebana ibu, rebana anak, tetawak atau gong dan cherek. Namun dari masa ke masa ia mengalami inovasi dengan penambahan beberapa alat muzik baru seperti canang, sepasang rerumba atau marakas, kesi dan tamborin.

Pemuzik dengan alat muziknya

Thursday, October 18, 2018

Kembara Seniku


Bermulanya “Ambo” Disini


Sudah menjadi adat makhluk apa yang ada hari ini mesti ada permulaannya dan pasti ia akan menemui pengakhiran kelak. Begitu juga dengan ambo, keterlibatan ambo dalam dunia dikir barat bermula apabila ambo masuk menyambung pelajaran di sebuah sekolah berasrama (bukan asmara….hehehe), Sekolah Menengah Teknik Bachok (sekarang dikenali sebagai Kolej Vokasional Bachok). Orang yang membawa ambo menceburi dikir barat disini ialah senior ambo Jefri aka Mat Jeff Benetton (setelah lama berpisah akhirnya ambo dipertemukan lagi dengan Mat Jeff tapi kali ini ambo yang tarik dia join dikir barat di UKM. Dia sambung pengajian peringkat ijazah kejuruteraan manakala ambo baru tamat pengajian di UKM pada pertengahan tahun 2008).

Secara umumnya pasukan Dikir Barat SMT Bachok  bernaung dibawah kelab kebudayaan sekolah yang dipimpin oleh cikgu Fauzi Mat dan cikgu Faizah. Kali pertama ambo naik pentas mempersembahkan dikir barat ialah ketika sambutan hari guru tahun 2001. Rasa berdebar tuhan saja yang tahu maklumlah kali pertama ambo berdikir walaupun pernah di sekolah lama (SMK Kota) ambo jadi tekong nasyid. Bila saja ambo buka mulut terus sinaran cahaya silih berganti menimpa muka ambo(flash kamera), lagi la terasa kencang jantung bergerak.

Setelah persembahan yang cukup meyakinkan ketika sambutan hari guru, cikgu Fauzi Mat minta ambo sediakan pasukan untuk masuk pertandingan dikir barat anti dadah peringkat daerah Bachok. Sebulan lebih kami berlatih harung apa sahaja, Sebenarnya kami semua tiada pengalaman langsung sampai cikgu keliru nak guna bahasa apa ketika mengarut, guna bahasa Melayu standard ke bahasa kelate…hehehe…

Di saat akhir menghadapi pertandingan timbul masalah siapa yang akan jadi tukang karut sedangkan ambo berada di posisi tok jogho (juara). Akhirnya cikgu buat keputusan ambo diletakkan sebagai tukang karut dan tok jogho telah diberikan kepada senior saya Mat Jeff (polisi SMT Bachok, tidak membenarkan murid tingkatan 5 terlibat dengan pertandingan luar selepas bulan Jun untuk fokus SPM). Walau berat tapi terpaksalah saya pikul tugas tukang karut. Di saat akhir juga datang seorang aktivis dikir barat sekitar Bachok, beliau telah sedikit sebanyak memberi tunjuk ajar kepada kami. Apa yang uniknya, beliau telah ubah kedudukan awok-awok kepada bentuk melengkung. Tok jogho duduk di lengkung kanan, tukang karut duduk di lengkung kiri. Sampai sekarang ambo pun tidak tahu apa rasional duduk seperti itu….hahahaha

Pertandingan ini seingat ambo berlangsung pada awal Ogos 2001. SMT Bachok membuat persembahan yang ketiga seingat ambo. Lupa nak bagi tahu tuan rumah pertandingan adalah sekolah ambo sendiri, masih ingat lagi ketua warden asrama saya cikgu Burhanuddin bertindak sebagai pengacara majlis seingat ambo lah. Bila tiba giliran kumpulan ambo, Mat Jeff membuka panggung dengan lagu joghonya. Lagu Jogho pada masa tu menggunakan melodi lagu jogho Citrawarna Megat Nordin. Tiba-tiba suara Mat Jeff tak keluar menambahkan lagi rasa berdebar ambo. Setelah tamat Mat Jeff berjogho, tiba giliran ambo dengan dimulakan dengan karut yengki. Satu dewan gemuruh dengan tepukan maklum lah tuan rumah kan….hehehhe….

Selepas karut yengki  bermulalah adegan yang menggamat dewan sekolah ambo. Satu dewan riuh rendah, robot berjoget dan satu ketika ambo lupa lirik tapi ambo teruskan jugak sampai habis. Tamat pertandingan keputusan di umum, johan pertandingan disandang oleh juara bertahan PPD  Pasir Puteh/Bachok(dulu dua daerah gabung satu PPD) SMK Cherang Ruku. SMT Bachok dapat nombor berapa??? Entah ambo pun tak tahu….hahahahaha…Walau bagaimanapun pertandingan yang disertai ini memberi ambo pengalaman yang tidak ternilai. Inilah kali pertama ambo mewakili sekolah dalam bidang kokurikulum dan pertama kali ambo terlibat dengan dikir barat.

Kenangan ambo di SMT Bachok sebagai pendikir tidak akan ambo lupa sampai bila-bila. Sesiapa yang baca tulisan ambo mari kita sedekah al fatihah buat sahabat ambo yang sangat komited dengan dikir barat bersama ambo dulu arwah Amri Tumpat, moga roh dia dicucuri rahmat dan Allah ampunkan dosa dia. Amin…



Pengertian Dan Asal Usul 'Dikir Barat'



'Dikir barat' merupakan salah satu persembahan kesenian tradisional yang paling diminati khususnya di negeri Kelantan. Ia merupakan kesenian tradisional yang baru jika dibandingkan dengan kesenian tradisional yang lain. Perkataan 'dikir' mempunyai persamaannya dengan perkataan zikir iaitu satu sebutan yang memuji Allah s.w.t. Manakala perkataan barat pula merujuk kepada “Selatan Thailand”. Orang-orang dahulu di Kelantan menganggap bahawa daerah di utara mereka adalah sebelah barat. Dari sini timbul satu pendapat bahawa 'dikir barat' ini berasal dari Thailand. Penggunaan perkataan dikir juga banyak digunakan selain dikir barat seperti dikir Pahang, 'dikir maulud', 'dikir rebana' dan 'dikir berarak'. Namun begitu dikir barat juga mempunyai nama-nama lain seperti 'dikir karut', 'dikir pantun' dan 'dikir syair'.

'Dikir barat' lebih dikenali di Kelantan manakala dikir karut lebih dikenali di Selatan Thailand. Pada suatu ketika dahulu dikir barat dimainkan selepas musim menuai padi. Namun pada masa kini dikir barat tidak lagi dimainkan mengikut musim tetapi dimainkan sama ada dalam bentuk persembahan untuk majlis-majlis rasmi, persembahan hiburan bertiket dan persembahan dalam bentuk pertandingan.

Pensejarahan mengenai asal usul 'dikir barat' adalah amat kabur kerana masih tiada lagi sumber-sumber utama dalam bentuk catatan untuk mengesahkan asal usulnya secara mutlak. Asal usul mengenainya hanya diambil daripada perbualan orang-orang sama ada mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya. Dari sini telah timbul pelbagai polemik atau pendapat tentang asal usul 'dikir barat'. Di bawah ini disenaraikan beberapa pendapat tentang asal usul dikir barat:

a) 'Dikir Barat' Berasal Dari Selatan Siam:Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya 'Dikir Barat' ini yang lebih terkenal dengan nama 'Dikir Hulu' dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah dinaungi oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung 'Dikir' ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ia adalah dalam bentuk 'Dikir' dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.


b) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Tebu: Ada orang mengatakan bahawa 'Dikir Barat' ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan 'Dikir Barat', ramai orang menganggap 'Dikir Barat' sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.


c) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang.Bila memperkatakan 'Dikir Barat', nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana 'Dikir Barat'. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau sendiri mengakui yang 'Dikir Barat' ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Ketika mula-mula 'Dikir Barat' dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk 'Dikir' tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan 'Dikir Barat' di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang seterusnya telah mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi 'dikir barat'. 


d) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Kerengga: Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak Nik Man) 'dikir barat' berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam.Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan 'dikir barat' berasal dari sana.


e) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ilham Budak Penjaga Lembu: Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa 'dikir barat' berasal dari permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk berkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan 'dikir barat'. 


f)'Dikir Barat' adalah persembahan asli rakyat Kelantan yang berasal daripada gabungan berbagai jenis dikir yang lain seperti  'dikir rebana besar', 'dikir laba', 'dikir rebana kerching', 'dikir budak' dan pantun inai.


Dan, pendapat terbaru tentang asal usul 'dikir barat' ialah...


g) 'Dikir Barat' Berasal Dari Kota Baru, Reman, Selatan Siam (Thailand): Pendapat ini dikemukakan oleh seniman 'dikir barat' terkenal Dollah Tok Deh yang telah menguatkan lagi hujah bahawa 'dikir barat' sememangnya berasal dari Selatan Siam. Cuma kali ini beliau dengan lebih terperinci menerangkan tempat asal 'dikir barat' iaitu di Kota Baru, Reman. Beliau menyatakan bahawa nama asal 'dikir barat' ialah 'dikir hulu' iaitu di kawasan pedalaman daerah Yala, Kota Baru. Beliau menyatakan bahawa persembahan 'dikir barat' ini pertama kali di persembahkan kepada pemerintah salah sebuah wilayah di selatan Siam iaitu Sultan Abdul Kadir sempena majlis berkhatan putera baginda. Untuk  keterangan lanjut boleh lawati sumber youtube

Daripada pendapat-pendapat yang diutarakan diatas adalah sukar untuk mengetahui yang mana pendapat tersebut yang benar-benar mutlak untuk kita mengetahui asal usul 'dikir barat'. Diharapkan satu masa nanti akan muncul satu pendapat mutlak tentang asal usul 'dikir barat' ini. 

Buka Panggung





Assalamualaikum pembuka bicara..
Syukur Alhamdulillah, akhirnya saya diberi kesempatan untuk turut sama terlibat dalam membuat sedikit catatan atau sejarah hidup diri saya khususnya penglibatan diri saya dalam dikir barat bermula dibangku sekolah, era kampus dan sehingga ke hari ini.

Jadi kesimpulan penulisan dalam blog ini akan berkisar berkaitan pengalaman blogger sebagai salah seorang aktivis dikir barat bermula seusia belasan tahun hingga kini. Insya Allah paparan grafik dan video akan disajikan kepada pembaca sekalian.
Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.