Thursday, November 28, 2019

Bola Sepak Kelantan : Dari tahun 1952 hingga 1988




Logo Kelantan FA Era 1970-an
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan

Bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia. Walaupun Malaysia masih belum lagi layak ke pusingan akhir Piala Dunia namun sukan ini tetap menjadi sukan kegemaran nombor satu rakyat. Pertandingan bola sepak tertinggi negara seperti Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan beberapa lagi pertandingan menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak tanah air terutamanya apabila pasukan menjadi pesaing utama liga atau ketika berlangsungnya perlawanan-perlawanan penting seperti pertemuan 'rival', perlawanan kalah mati terutamanya separuh akhir dan perlawanan akhir dan sebagainya. Pertandingan utama bola sepak tempatan seperti Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sultan Haji Ahmad Shah(Piala Sumbangsih) dan Piala Presiden dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia ringkasnya FAM atau badan yang dilantik oleh FAM. Pertandingan-pertandingan ini di sertai oleh pasukan-pasukan kendalian persatuan negeri atau kelab-kelab bola sepak yang bergabung dibawah FAM.

Kelantan yang merupakan salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia turut mempunyai skuad bola sepak dalam saingan kejohanan bola sepak tempatan. Skuad Kelantan dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang telah ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadikan Stadium Sultan Muhammed IV sebagai venue utama pasukan yang boleh memuatkan kira-kira 30 000 penonton dalam tempoh satu  masa.

Stadium Sultan Muhammed IV
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan
Kelantan Era 1952-1978
Kelantan mula menyertai pertandingan bola sepak tempatan bermula pada tahun 1952. Pertandingan pada ketika itu adalah untuk merebut Piala HMS Malaya (bermula 1967 dikenali sebagai Piala Malaysia). Pertandingan Piala HMS Malaya ini telah pun bermula sejak tahun 1921 dan format pertandingan antara tahun 1921 hingga 1978 adalah berdasarkan kumpulan zon wilayah skuad yang bertanding. Asalnya hanya ada zon utara dan zon selatan sahaja. Apabila Kelantan dan Terengganu mengambil bahagian maka zon timur telah di wujudkan. Juara zon berkenaan akan bertemu di peringkat separuh akhir dan seterusnya pemenang peringkat separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir.

Kumpulan zon timur pada tahun 1952 hanya disertai oleh Kelantan dan Terengganu dan perlawanan diadakan secara kalah mati dan timbal balas. Dalam edisi sulung ini, Kelantan gagal ke pusingan seterusnya apabila kalah kepada Terengganu dengan agregat jaringan 5-4. Namun selepas edisi pertama, Kelantan telah mendominasi saingan sehingga tahun 1962. Dalam tempoh berkenaan berlaku beberapa perubahan seperti Perlis yang kali pertama menyertai pertandingan pada tahun 1953 diletakkan dalam kumpulan zon timur yang kemudiannya dipindahkan ke zon utara pada tahun berikutnya. Kekosongan yang ditinggalkan itu digantikan dengan pasukan Pahang yang sememangnya berada dalam wilayah yang sama iaitu zon timur atau lebih dikenali sebagai koridor pantai timur. Dalam tempoh ini juga Kelantan buat kali pertama mara ke perlawanan akhir pada tahun 1955 namun terpaksa akur kepada kehebatan Singapura tambahan pula perlawanan akhir tersebut berlangsung di kandang Singapura iaitu Stadium Jalan Besar dengan kehadiran 9000 penonton.

Skuad Kelantan Era 1950-an
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan
Dalam pertandingan edisi tahun 1963 hingga 1964, Kelantan telah diletakkan dalam kumpulan zon utara bersama Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis yang menyaksikan buat kali pertama semenjak tahun 1953 Kelantan gagal layak ke pusingan seterusnya. Walau bagaimanapun Kelantan kembali menggegarkan Piala HMS Malaya 1965 apabila kumpulan zon timur diwujudkan kembali dan mara ke peringkat separuh akhir antara zon. Edisi 1966 hingga 1967 menyaksikan kebangkitan Terengganu apabila menjuarai peringkat zon berkenaan dua tahun berturut-turut sebelum dikuasai semula oleh Kelantan pada tahun beikutnya. Bermula tahun 1967 pertandingan dikenali sebagai pertandingan bola sepak Piala Malaysia dengan menggunakan piala yang baru. Pada edisi 1969, Kelantan menjuarai peringkat kumpulan zon timur namun tewas di pusingan play off kepada Terengganu.

Finalis Piala Malaysia 1970
Scoreboard dibelakang membuktikan Kelantan membelasah Singapura 8-0 di separuh akhir
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan 
Memasuki tahun 1970, format pertandingan masih lagi format yang sama dan berlaku penambahan pasukan bagi kumpulan zon timur dengan kemasukan pasukan Angkatan  Tentera Malaysia (ATM). Tahun ini juga merupakan tahun gemilang buat Kelantan apabila mara ke perlawanan akhir bertemu Perak. Sebelum itu Kelantan telah membuktikan kehebatannya apabila menundukkan pasukan Singapura di peringkat separuh akhir dengan agregat  jaringan 10-2. Jaringan 8-0 keatas Singapura adalah kejayaan cemerlang Kelantan pada tahun 1970. Namun begitu Kelantan gagal membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu apabila tewas di tangan Perak 2-0. Pada tahun berikutnya Kelantan hanya mara hingga ke separuh akhir. Bermula tempoh 1972 hingga tahun 1978 telah menyaksikan kemerosotan Kelantan apabila gagal melepasi peringkat zon kecuali pada tahun 1975.

Skuad Kelantan 1984
Kredit :FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan 
Pada tahun 1979, format pertandingan telah diubah dan sistem zon telah dimansuhkan, digantikan dengan format sistem liga. Pertandingan edisi 1979 menyaksikan penyertaan pasukan negara jiran Brunei di samping Singapura yang sudah sekian lama berada dalam saingan dan menyaksikan pertama kali penyertaan pasukan Wilayah Persekutuan yang kemudiannya di kenali sebagai Kuala Lumpur. Empat pasukan teratas liga berentap di separuh akhir untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Dalam edisi pertama format 1979 Kelantan menduduki tempat keenam dan gagal ke peringkat seterusnya. Tahun berikutnya Kelantan menduduki tempat keempat dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Edisi 1981 meyaksikan sedikit perubahan apabila pusingan suku akhir diperkenalkan yang membolehkan lapan pasukan teratas liga meneruskan saingan. Kelantan yang menduduki tempat keenam telah layak ke peringkat suku akhir.

Edisi 1982 sekali lagi menyaksikan perubahan  format pertandingan apabila pasukan yang menduduki tempat teratas liga diiktiraf sebagai juara liga dan mendapat piala liga. Namun begitu format pertandingan tetap sama seperti edisi 1981. Dari tahun 1983 hingga 1988, Kelantan kecuali tahun 1985 sentiasa layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan pernah berada dalam kelompok tiga terbaik liga iaitu pada tahun 1983 dan 1988.

Skuad Kelantan 1988
Kredit : FB Galeri Gambar Pasukan Bolasepak Kelantan

Kesimpulan yang dapat dirumuskan bahawa skuad Kelantan semenjak menyertai pertandingan bola sepak tempatan merupakan pasukan yang mempunyai rekod yang sangat cemerlang terutamanya era tahun 1950-an, 1960-an dan 1980-an. Walaupun mengalami kemerosotan dalam sekitar tahun 1970-an namun dalam era tahun 1980-an Kelantan kembali menjadi antara pasukan yang mencabar pasukan-pasukan handal terutamanya Selangor yang dibarisi pemain-pemain bintang. Kelantan juga turut melahirkan pemain-pemain ternama dan menjadi pemain skuad kebangsaan seperti Dali Omar, Wan Zawawi Wan Yusof, Mahadi Yusof, Hamid Ramli, Kamarudin Mohd Nor, Salim Mahmud, Hashim Mustapha dan ramai lagi. Menjelang dekad 1990-an FAM telah memperkenalkan Liga Semi Pro bagi menggantikan format pertandingan sebelumnya. Jadi bagaimana prestasi  skuad Kelantan pada era Semi Pro??...bersambung...


1 comment:

  1. Zaman awal tahun 90an munculnya penjaring @ kasut emas,Hashim Mustapha.

    ReplyDelete

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.