Monday, August 23, 2021

Kembara Seniku III

 Permulaan Sebagai Aktivis Dikir Barat Kampus

Gambar Sekadar Hiasan...hehe


Alhamdulillah, setelah sekian lama ambo tidak menulis hari ini ambo dengan izin Allah SWT telah diberikan kekuatan untuk mencoret beberapa kenangan yang ambo lalui satu ketika dahulu sebagai salah seorang aktivis kesenian dikir barat. Setahun (2004) setelah ambo menamatkan persekolahan ambo dan mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ambo telah telah diterima untuk melanjutkan pengajian ambo ke peringkat sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perkara yang pertama ambo apabila dapat masuk 'U' selain untuk fokus kepada pelajaran ialah bergiat aktif dalam kegiatan seni dikir barat. Peluang yang pertama yang diberikan kepada ambo apabila pihak kolej kediaman ambo Kolej Aminuddin Baki (KAB) memilih ambo dan beberapa rakan mahasiswa yang lain untuk menjalani latihan kebudayaan yang dikelolakan oleh Pusat Kebudayaan UKM di Dewan Tun Abdul Razak, DECTAR (bapak segala dewan di UKM) sempena Minggu Mesra Mahasiswa (minggu orientasi bebudak baru termasuk ambo). Apabila ambo tiba di DECTAR, ambo bersama dengan rakan-rakan lain kecuali yang terlibat dengan kesenian lain telah dibawa ke bilik dikir barat di tingkat atas DECTAR. Ambo sangat takjub sekali bila melihat bilik berkenaan, cukup lengkap dengan peralatan seperti alat siaraya dan alat muzik dikir barat. Pada ketika itu  yang mengendalikan latihan adalah En Burhanudin (Abe Din) dan En Afiezul (Joe Bbano Emas). Mereka berdua telah membuat audition dan akhirnya ambo yang dipilih untuk mengetuai persembahan. Dibelakang ambo adalah awak-awak mahasiswa baru yang dipilih ada lelaki ada perempuan, berbagai negeri dan berbilang kaum. Disinilah ambo berkenalan dengan beberapa orang rakan-rakan dari kolej lain yang mempunyai minat yang mendalam terhadap keseniaan dikir barat seperti Azam (Ajey), Sobri (Sob) dan Roslan (Ley Seres). Dari Kolej Aminuddin Baki ambo tidak keseorangan kerana turut bersama ambo adalah Saiful (Sepu), Fikri (Mat Yie) dan Roslan Palapes (Lan).

Ketika rakan-rakan sebatch KAB mengikuti minggu orientasi di kolej, ambo dan beberapa rakan yang lain pula sibuk berlatih untuk malam persembahan. Persembahan tersebut bakal disaksikan oleh seluruh mahasiswa baru sebagai salah satu program dalam minggu orientasi. Boleh dikatakan kebanyakan program sempena minggu orientasi diadakan di DECTAR dan persembahan kebudayaan merupakan salah satu program berkenaan. 

Masa berlatih untuk mengadakan persembahan adalah amat singkat iaitu dua hari sahaja. Tetapi dengan pengalaman dan kebijaksanaan kedua-dua jurulatih iaitu Abe Din dan Joe Bbano, kesemua peserta yang menjalani latihan dengan cepatnya dapat menguasai apa yang diajar. Pada malam persembahan nanti, kumpulan dikir barat akan mempersembahkan dua genre lagu iaitu karut patani dan diakhiri dengan irama wau bulan. Bagi ambo yang sudah ada pengalaman tidak menjadi masalah cuma perasaan gementar tu ada la sebab persembahan itu nanti adalah di depan ribuan penonton. Satu perkara baru yang saya dapat pelajari dari persembahan di DECTAR ialah pengurusan pentas yang amat efisien. Inilah pertama kali saya akan membuat persembahan sambil dikeluarkan asap dan disinari lampu disco..hahaha...Pengurusan pentas pada malam persembahan itu juga dikendalikan oleh mahasiswa baru sambil ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai pusat kebudayaan.

Maka malam persembahan yang di tunggu-tunggu sudah tiba. Apabila dijemput kumpulan dikir barat untuk mengadakan persembahan, ambo dengan bergayanya keluar dengan penuh berkeyakinan. Di hadapan ambo adalah ribuan penonton yang memberikan tepukan gemuruh. Rasa gementar(orang kelate kato kenaling) sudah hilang secara tiba-tiba. Dalam hati ambo ketika itu ambo mesti tunjukkan yang terbaik demi memartabatkan seni dikir barat. Dengan tenangnya selepas bertabuh ambo melantun alunan: 

'Awe oh Awe' 
Mahasiswa Maju Jayo'

Ambo nok ghoyak ini maley
ingat pesey oghe tuo
(Yang ni je ingat..hehe)

Selepas selesai karut patani, ambo dendangkan irama Wau Bulan dan tanpa disangka-sangka satu DECTAR juga turut sama-sama menyanyikan lagu irama Wau Bulan. Kenangan ini ambo akan ingati sampai bila-bila dan merupakan permulaan kembara seni ambo di dunia kampus. Rasanya setakat ini sahaja coretan ambo. Di lain masa ambo akan coretkan lagi kenangan ambo di masa lalu terutamanya ketika berada di kampus UKM...

Wednesday, August 18, 2021

Sejarah KSSM Tingkatan 5, Bab 8: Membina Kemakmuran Negara (Pembentukan Dasar Pembangunan Nasional, DPN)


Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan dasar yang diperkenalkan selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990.

Jelaskan matlamat  dan yang yang ingin dicapai melalui DPN.

Antara matlamat DPN ialah mencapai perpaduan negara melalui pengagihan sumber kekayaan. Ia dapat dicapai melalui pembangunan seimbang antara negeri dan antara bandar dengan luar bandar melalui beberapa aspek.

Objektif DPN pula adalah untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dengan memperkukuhkan kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan.

Senaraikan strategi kerajaan dalam mencapai matlamat dan objektif DPN.

Ekonomi

-Penglibatan aktif pihak swasta dalam pembangunan ekonomi negara

-Program penanaman semula

-Penggunaan sains dan teknologi

-Meningkatkan pemilikan saham bumiputera

 Sosial

-Memberikan insentif serta kemudahan pendidikan untuk kemajuan masyarakat miskin tanpa mengira kaum.

-Mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian

-Membentuk masyarakat yang berdisiplin dan progresif.

Kemudahan Fizikal Dan Alam Sekitar

-Menyediakan dan menambah baik kemudahan asas

-Pembangunan mapan tanpa mengabaikan alam sekitar

 

Tuesday, August 17, 2021

Sejarah KSSM Tingkatan 4, Bab 1:Warisan Negara Bangsa (1.2 Ciri-Ciri Negara Bangsa Kesultanan Melayu Melaka)



Empayar Kesultanan Melaka Melaka
Sumber:wikipedia


Kewujudan institusi Kesultanan Melayu Melaka pada ke-15 menjadi asas pembinaan negara dan bangsa kita.

Terangkan ciri-ciri negara dan bangsa Kesultanan Melayu Melaka.

Ciri-ciri yang pertama ialah kerajaan. Kewujudan kerajaan disebabkan adanya raja yang merupakan pemerintah tertinggi dan dibantu oleh pembesar. Pemerintahan beraja diperkukuhkan lagi dengan Sistem Pembesar Empat Lipatan yang menjadi tonggak pentadbiran Melaka. Selepas kedatangan Islam, pemerintah Melaka menggunakan gelaran sultan

Ciri-ciri yang kedua rakyat yang merupakan penduduk yang menumpahkan kesetiaan kepada Sultan Melaka dan mematuhi undang-undang negeri. Rakyat Melaka terdiri daripada orang Melayu dan Orang Laut.

Seterunsya adalah kedaulatan yang menjadi lambing kekuasaan tertinggi seseorang sultan. Kedaulatannya diakui oleh kerajaan lain dan bebas daripada campur tangan asing.

Ciri-ciri yang ketiga ialah wilayah pengaruh yang merujuk kepada kawasan pemerintahan raja yang diterima dan diakui oleh rakyat. Wilayah pengaruh diperolehi melalui penaklukan, naungan dan perkahwinan. 

Sejarah KSSM Tingkatan 4, Bab 1:Warisan Negara Bangsa (1.1 Latar Belakang Negara Bangsa Sebelum Kedatangan Barat)

Kerajaan Alam Melayu Sebelum Era Kesultanan Melayu Melaka

1.1 Latar Belakang Negara Bangsa Sebelum Kedatangan Barat

Pembentukan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu berbeza daripada yang berlaku di Barat. Jelaskan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu.

Raja merupakan ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu. Raja diperkukuhkan dengan sistem pentadbiran yang dibantu oleh pembesar. Raja ditaati oleh rakyatnya dan dianggap suci. Contohnya, Raja Champa dianggap sebagai pemerintah yang suci dan dikaitkan dengan Dewa Siva.

Ciri-ciri yang seterusnya ialah undang-undang yang dilaksanakan di seluruh wilayah pengaruh dan menjadi panduan dalam pentadbiran. Contohnya, kerajaan Majapahit mengamalkan undang-undang Kutara Manawa.

Ketiga ialah wilayah pengaruh iaitu kawasan yang rakyatnya menerima dan memperakui pemerintahan seorang Raja. Contohnya kerajaan Funan mempunyai wilayah pengaruh yang luas dari Sungai Mekong, Teluk Cam Ranh, selatan Myammar dan Segenting Kra.

Ciri-ciri yang terakhir ialah rakyat yang merujuk kepada penduduk sesebuah wilayah yang setia kepada raja dan tidak menderhaka seperti kesetiaan rakyat Srivijaya dibuktikan melalui upacara persetiaan dan meminum air sumpah.






 

Monday, August 16, 2021

Perkembangan Ilmu Sejarah Sebelum Abad Ke-19 (Fasa 1)

 

Ibnu Khaldun Sejarawan Ulung Islam Kurun ke-14

Sebelum ilmu sejarah diiktiraf sebagai salah satu disiplin ilmu pengetahuan[1], pensejarahan (penulisan sejarah) telah pun wujud berdasarkan konsep sosio-budaya dan kepentingan keperluan sezaman[2]. Sebagai contoh penghasilan karya sejarah Sulalatus Salatin oleh Tun Sri Lanang adalah kerana menjunjung perintah raja dengan tujuan supaya generasi mendatang  mengetahui sejarah asal usul kewujudan raja-raja. Pensejarahan yang di hasilkan ketika itu juga menjurus kepada memberi pengajaran dan iktibar kepada manusia tentang peristiwa yang telah berlaku seperti yang dinyatakan oleh Herodotus dalam karya Perang Persia.

Pensejarahan pra pensejarahan moden  walaupun ia masih belum diiktiraf sebagai disiplin ilmu pengetahuan namun ia  dapat dibezakan dengan ilmu-ilmu lain (seperti keagamaan, falsafah dan sastera) sebagai contohnya kebanyakan karya-karya sejarah mempunyai muqadimah yang khusus yang mempunyai unsur-unsur berkaitan dengan teori sejarah dan kaedah penyelidikannya seperti peristiwa, tokoh dan tempat yang diceritakan mempunyai sumber rujukan. Selain itu juga ia mengikut tertib tarikh atau kronologi.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang menyebabkan sejarah sebelum abad ke-19 tidak diiktiraf sebagai ilmu pengetahuan. Menurut  Athur Marwick terdapat tiga kelemahan yang besar iaitu karya-karya sejarah tersebut tidak merangkumi perkembangan dan perubahan manusia; kedua tidak berlaku kaitan atau hubungan antara karya-karya kesarjanaan yang penting dengan yang berbentuk tafsiran walaupun kedua-duanya terus sama-sama dihasilkan; ketiga, sejarah tidak diajarkan sebagai satu disiplin intelek yang lengkap kecuali di istana raja atau pembesar[3]. Pencampuran dengan unsur-unsur kesusasteraan, falsafah, lagenda malah dogeng dan mitos menambahkan lagi masalah untuk mengiktirafkan sejarah sebagai ilmu pengetahuan yang tersendiri.

Keadaan ini telah membawa kepada usaha untuk menjadikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan pada awal kurun ke-19 yang akhirnya telah digerakkan oleh sejarawan Eropah terutamanya di kalangan sejarawan Jerman. Dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr, akhirnya disempurnakan oleh Leopold von Ranke yang membawa kepada pengiktirafan sejarah sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri di Eropah dan membentuk apa yang dinamakan sebagai pensejarahan moden.



[1] Pensejarahan moden bermula pada awal abad ke-19 yang dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr dan seterusnya Leopold von Ranke melengkapkan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan.

[2] Muhd Yusof Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian Dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 20.

[3] Marwick, A, 1985, The Nature of History, edisi kedua, cetakan keempat, London: MacMillan Co., hlm.35

Sunday, August 15, 2021

Pengenalan Ilmu Sejarah

Herodotus yang dianggap Bapa Sejarah
Herodotus dianggap sebagai Bapa Sejarah Dunia
Sumber: metmuseum

 Istilah Sejarah

Istilah sejarah digunakan oleh sejarawan di Alam Melayu bagi merujuk kepada ilmu sejarah. Menurut Kamus Dewan, sejarah bererti sastera lama, asal usul (keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat tambo; tawarikh. R.O. Winstedt dalam kamusnya (Kamus Bahasa Melayu) menyatakan perkataan sejarah berasal daripada perkataan Arab yang diertikan sebagai salasilah, tawarikh dan babad. Ibrahim Alfian menyatakan perkataan Arab tersebut kemungkinan besar ialah syajaratun yang bererti pohon.

Istilah sejarah dikatakan digunakan pertama kalinya oleh Raja Ali Haji dalam karya Tuhfat Al Nafis. Namun begitu istilah hikayat, riwayat dan tawarikh sering digunakan oleh sejarawan Melayu dalam menamakan karya pensejarahan mereka sehinggalah awal tahun 1960-an istilah sejarah mula digunakan sehingga hari ini.

Istilah History

Istilah ini digunakan di Barat yang berasal daripada perkataan Yunani iaitu historia yang bererti penyelidikan[1].

W. E Cadwell menyatakan perkataan history yang berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud penyelidikan telah berubah maksudnya menjadi peristiwa yang telah berlaku pada masa yang lalu dan juga ingatan yang tercatat pada masa yang lalu.

Pengertian Sejarah

Sejarah diertikan sebagai peristiwa/kejadian/pengalaman/tingkah laku individu, pemimpin, institusi, pertubuhan, negara serta masyarakat yang telah berlaku pada masa lalu. Ia kemudiannya dihurai dan ditafsirkan melalui kaedah kajian yang sistematik yang menjadikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan. Ia diperolehi melalui ingatan seseorang (sejarah lisan/oral history), catatan laporan/dokumen yang dikenali sebagai sumber sejarah. 

Sebelum sejarah diiktiraf sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan, ia dianggap sebahagian daripada ilmu falsafah di zaman kegemilangan tamadun Rom Yunani dan sebahagian ilmu agama (Kristian) pada Zaman Pertengahan di Eropah. Ketika era kegemilangan tamadun Islam, sejarah adalah sebahagian ilmu agama dan sosial. Manakala di Asia Selatan dan Asia Tenggara sejarah dianggap sebahagian daripada ilmu kesusasteraan.

“Keistimewaan sejarah kerana ia sentiasa merangsang manusia untuk terus menyoal tentang KEADAAN, KEDUDUKAN serta KESEJARAHANNYA dengan harapan mendapatkan sesuatu MANFAAT atau FAEDAH daripadanya”

Muhd Yusof Ibrahim



[1] Penyelidikan adalah proses menghasilkan ilmu pengetahuan melalui penyaksian, pendengaran dan pemerhatian. Ilmu pengetahuan yang dihasilkan tanpa proses tersebut bukanlah imu pengetahuan yang sebenar malah hanya merupakan separa ilmu pengetahuan sahaja. 


 

 

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.