Saturday, October 20, 2018

Watak-Watak Persembahan Dikir Barat

Tukang karut merupakan orang yang terpenting dalam persembahan dikir barat. Istilah tukang karut ini di popularkan oleh pelopor dikir barat sendiri, Pak Leh Tapang. Sesuatu persembahan dikir barat sama ada baik atau tidak adalah bergantung kepada tukang karut. Tukang karut selalunya dari mereka yang berkebolehan dan mempunyai kemahiran menggunakan kata-kata dengan berlagu secara spontan dan bersahaja dalam bentuk pantun atau syair. Tukang karut biasanya mempersembahkan karutnya mengikut tema pantun tok juara atau atas kehendak penganjur persembahan.  Antara tukang karut yang terkenal selain Pak Leh Tapang ialah Seman Wau Bulan (Irama wau bulan yang dipopularkan beliau menjadi penutup persembahan dikir barat), Dollah Kulat Malam, Awang Ikan Duyong, Hussin Gelang Mas, Jemi Bukit Marak, Jen Endoro, Tuan Kob Raja Saring, Cikgu Sulizi, Cikgu Naim, Mie Gajah Putih dan ramai lagi.

Tukang karut membuat persembahan


Tok juara atau jogho merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan dikir barat.  Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut, ini bersesuaian dengan istilah juara yang bermaksud mendahului persembahan melalui lagu awalnya (Muhammad Fauzi Yunus. 1990). Suara tuk juara yang baik memepunyai suara vokal yang merdu boleh menaikkan semangat tukang karut dan Awak-awak pasukannya.  Tema yang didikirkan oleh tuk juara selalunya menjadi panduan kepada tukang karutnya mengarut, kerana selepas tuk juara berdikir, tugas diambil alih tukang karut pula.  Tok juara merupakan ketua dan guru kepada seluruh awak-awaknya, sebab segala bentuk dikir merupakan suara latar atau korus yang diperlukan adalah dari ajaran tok juara, tetapi tukang karut tidak terikat oleh mana-mana tuk juara dan awak-awak. Lagu dan seni kata dikir adalah hasil dari ciptaan sendiri.  Awak-awaknya mendapat latihan terlebih dahulu sebelum satu-satu persembahan dikir barat diadakan. Lagu- lagu juara biasanya dicipta oleh tok juara sendiri. Antara tok juara terkenal adala Jusoh Kelong, Salleh Jambu, Ripin Ana, Daud Bukit Abal, Megat Nordin, Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamour dan ramai lagi.

Tok Juara atau jogho mempersembahkan pantun juaranya

Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu persembahan dikir barat. Semasa persembahan dikir barat, awak-awak duduk dalam satu bulatan secara berkelompok atau duduk dalam keadaan berbaris supaya suasana dan suara mereka berpadu ketika membentuk korus sambil bertepuk tangan. Gelaran awak-awak ini diambil dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam, sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil ‘Jeragan’, jadi keadaan ini disesuaikan dengan awak-awak dalam kumpulan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka iaitu Tok Juara. Tugas awak-awak dalam satu persembahan dikir barat ialah mengikut atau mengulangi beramai-ramai senikata atau korus lagu yang didendangkan oleh tok juara. Awak-awak ini akan mengeluarkan suara dengan kuat serta padu dan bertenaga sehinggakan dapat menaikkan semangat atau angin pendikir atau awak-awak tok juara serta tukang karut sendiri. Dengan kata lainnya awak-awak ialah berperanan sebagai suara latar atau korus bagi dikir barat.

Awak-awak sedang berdikir

Pemuzik juga merupakan watak yang melengkapkan sesebuah persembahan dikir barat. Pada zaman awal perkembangan dikir barat, alatan muzik dikir barat hanya rebana ibu, rebana anak, tetawak atau gong dan cherek. Namun dari masa ke masa ia mengalami inovasi dengan penambahan beberapa alat muzik baru seperti canang, sepasang rerumba atau marakas, kesi dan tamborin.

Pemuzik dengan alat muziknya

No comments:

Post a Comment

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.