Monday, August 16, 2021

Perkembangan Ilmu Sejarah Sebelum Abad Ke-19 (Fasa 1)

 

Ibnu Khaldun Sejarawan Ulung Islam Kurun ke-14

Sebelum ilmu sejarah diiktiraf sebagai salah satu disiplin ilmu pengetahuan[1], pensejarahan (penulisan sejarah) telah pun wujud berdasarkan konsep sosio-budaya dan kepentingan keperluan sezaman[2]. Sebagai contoh penghasilan karya sejarah Sulalatus Salatin oleh Tun Sri Lanang adalah kerana menjunjung perintah raja dengan tujuan supaya generasi mendatang  mengetahui sejarah asal usul kewujudan raja-raja. Pensejarahan yang di hasilkan ketika itu juga menjurus kepada memberi pengajaran dan iktibar kepada manusia tentang peristiwa yang telah berlaku seperti yang dinyatakan oleh Herodotus dalam karya Perang Persia.

Pensejarahan pra pensejarahan moden  walaupun ia masih belum diiktiraf sebagai disiplin ilmu pengetahuan namun ia  dapat dibezakan dengan ilmu-ilmu lain (seperti keagamaan, falsafah dan sastera) sebagai contohnya kebanyakan karya-karya sejarah mempunyai muqadimah yang khusus yang mempunyai unsur-unsur berkaitan dengan teori sejarah dan kaedah penyelidikannya seperti peristiwa, tokoh dan tempat yang diceritakan mempunyai sumber rujukan. Selain itu juga ia mengikut tertib tarikh atau kronologi.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang menyebabkan sejarah sebelum abad ke-19 tidak diiktiraf sebagai ilmu pengetahuan. Menurut  Athur Marwick terdapat tiga kelemahan yang besar iaitu karya-karya sejarah tersebut tidak merangkumi perkembangan dan perubahan manusia; kedua tidak berlaku kaitan atau hubungan antara karya-karya kesarjanaan yang penting dengan yang berbentuk tafsiran walaupun kedua-duanya terus sama-sama dihasilkan; ketiga, sejarah tidak diajarkan sebagai satu disiplin intelek yang lengkap kecuali di istana raja atau pembesar[3]. Pencampuran dengan unsur-unsur kesusasteraan, falsafah, lagenda malah dogeng dan mitos menambahkan lagi masalah untuk mengiktirafkan sejarah sebagai ilmu pengetahuan yang tersendiri.

Keadaan ini telah membawa kepada usaha untuk menjadikan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan pada awal kurun ke-19 yang akhirnya telah digerakkan oleh sejarawan Eropah terutamanya di kalangan sejarawan Jerman. Dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr, akhirnya disempurnakan oleh Leopold von Ranke yang membawa kepada pengiktirafan sejarah sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri di Eropah dan membentuk apa yang dinamakan sebagai pensejarahan moden.



[1] Pensejarahan moden bermula pada awal abad ke-19 yang dipelopori oleh Barthold G. Niebuhr dan seterusnya Leopold von Ranke melengkapkan sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan.

[2] Muhd Yusof Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian Dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 20.

[3] Marwick, A, 1985, The Nature of History, edisi kedua, cetakan keempat, London: MacMillan Co., hlm.35

No comments:

Post a Comment

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.