Friday, February 18, 2022

Alat Muzik Dikir Barat Siri I


Sudah lama ambo tidak menulis perkara yang berkaitan dengan seni dikir barat. Bukan kerana kurang berminat tetapi keterbatasan waktu dan idea menjadi rintangan kepada ambo. Jadi ambo sudah mendapat ilham dan mood untuk menulis kembali perihal berkaitan dengan seni warisan yang sebenarnya menjadi roh dan darah daging kepada ambo iaitu dikir barat.

Kali ini ambo akan berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan alat  muzik dikir barat. Pada peringkat awal perkembangan Dikir Barat, ia hanya menggunakan satu alat audifon sahaja iaitu kerecek atau kepingan-kepingan buluh yang diketuk bersama untuk menghasilkan rentak irama dikir barat. Sehingga ke hari ini terdapat lima alat muzik yang menjadi instrumen asas dalam persembahan dikir barat iaitu rebana ibu, rebana anak, gong atau tetawak, canang, marakas atau buah romba, tamborin dan kesi.


Rebana Ibu


Satu ketika dahulu termasuk ambo, ambo memanggilnya sebagai gendang ibu. Namun selepas berkecimpung sekian lama dalam dikir barat ia bukan gendang tetapi dikenali sebagai rebana. Ini kerana terdapat perbezaan antara rebana dan gendang. Rebana ialah alat muzik yang berbentuk bulat, separa kon seupama cawan dan mempunyai satu permukaan. Gendang pula berbentuk memanjang dan mempunyai dua permukaan dan kedua-dua permukaan berfungsi untuk dipalu. 

Berbalik kepada rebana ibu, ia merupakan alat muzik terpenting dan utama dalam persembahan dikir barat. Paluan rebana ibu umpama tulang belakang kepada persembahan dikir barat. Jika tiada paluan rebana ibu maka persembahan dikir barat dianggap tidak sempurna. Pemain rebana ibu juga merupakan antara watak penting yang menghidupkan persembahan dikir barat selain tukang karut, tok juara dan awak-awak.

Dari segi pembuatannya rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan dibuat  daripada kayu yang di dalamnya berukuran kira-kira antara lima hingga ke enam inci.  Untuk menegang kulit rebana, pancang kayu atau baji digunakan di antara cincin dan bahagian bawah badannya beserta diketatkan lagi dengan seutas rotan kecil yang dimasukkan di bahagian bawah belulang dengan permukaan badan rebana dengan menggunakan kayu yang berbentuk tirus pada bahagian hadapan yang dipanggil baji.

Baji Rebana Ibu/Anak

Terdapat tiga paluan asas dalam paluan rebana ibu iaitu paluan membo, paluan dangdut dan paluang cincang.....bersambung....

 

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.