Wednesday, November 27, 2019

Sejarah Kelantan : Peranan Kesultanan Kelantan Menegakkan Syariat Islam


Istana Jahar: Dibina semasa pemerintahan Sultan Muhammad II
Kemasukan Islam Ke Kelantan
Beberapa pendapat telah dikemukakan mengenai kemasukan Islam ke Kelantan. Antaranya ialah Islam semenjak abad ke-12 telah dianuti oleh penduduk Kelantan dengan penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan yang tertera perkataan Arab iaitu كلنتن الجلوس ٥٧٧ (Al-Julus Kelantan 577) dan disebelahnya pula tertulis  المتوكل (Al- Mutawakkil). Menurut  Wan Husain Azmi: 
“Perkataan لجلوس bermaksud duduk dan dari istilah “menduduki” singgahsana. Angka Arab 577 H bersamaan 1161 M.. Al-Mutawakkil itu gelaran pemerintah pada masa itu. Dari analisa yang ringkas itu ternyatalah di Negeri Kelantan  telah terdiri satu pemerintahan Islam pada tahun 577 H bersamaan dengan 1161 M dan rajanya bergelar Al-Mutawakkil yang ertinya orang-orang yang bertawakkal iaitu bertawakkal kepada Allah”.
Penemuan dinar tersebut menunjukkan Kelantan lebih awal menerima Islam daripada Melaka kerana pembentukan kerajaan Melaka adalah pada abad ke-15. Bukti Islam telah sampai ke Kelantan semenjak abad ke-12 dibuktikan lagi dengan pengembaraan Ibnu Batutah yang singgah di Kelantan iaitu di Kilu Kerai dan menemui seorang raja perempuan yang telah menganut agama Islam yang bernama Urduja.

Perlaksanaan Syariat Dan Nilai Hidup Islam Sebelum Era Penjajahan
Pemerintah Kelantan dari tahun 1432 M sehingga ke era keturunan Long Yunus terdiri daripada pemerintah yang beragama Islam. Terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah” Kelantan dalam era ini telah beberapa kali menjalankan hukum mengikut al-Quran seperti zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886M-1889M) dan Sultan Mansor (1890M-1900M) walaupun tidak semuanya undang-undang Islam itu di amalkan. Perlaksanaan hukum Islam di Kelantan juga dinyatakan oleh Hugh Clifford dalam catatannya iaitu:
“The law is administered on the same lines as those which followed in Terengganu, but the barbarous punishment of mutilation hand for theft and many of other cruel enactment of Hukum Syara' are still enforced in Kelantan.”
Walaupun kenyataan Clifford sangat prejudis terhadap hukum Islam, namun kenyataan beliau ini menjadi bukti bahawa pemerintah-pemerintah Kelantan dalam era ini telah melaksanakan hukum Islam sebagai perundangan utama Kelantan.

            Dalam era ini, golongan ulamak berada dalam kelas yang sangat istimewa. Mereka bertindak sebagai penasihat kepada pemerintah-pemerintah Kelantan disamping memberi pelajaran agama kepada ahli-ahli kerabat diraja dan masyarakat Kelantan. Antara golongan ulamak yang diangkat menjadi penasihat kepada pemerintah Kelantan pada era ini terutama era awal keturunan  Long Yunus ialah Syeikh Haji Abdul Halim.

            Syeikh Haji Abdul Halim merupakan anak angkat kepada Long Yunus dan menjadi penasihat kepada Sultan Muhammad I. Atas nasihat dan dorongan beliau, Sultan Muhammad  I telah mempergiatkan pembangunan hal ehwal agama Islam di Kelantan. Sultan Muhammad I telah memberi galakan kepada rakyat supaya mendirikan madrasah, surau dan wakaf sebagai tempat persinggahan.Atas nasihat dan dorongan Syeikh Haji Abdul Halim juga, Sultan Muhammad I telah mengarahkan di dirikan rumah-rumah wakaf di Mekah, Jeddah dan Madinah.

       Apabila Sultan Muhammad II menaiki takhta pada tahun 1839, satu perubahan besar yang dilaksanakan oleh Sultan Muhammad II iaitu segala dasar perundangan hendaklah berteraskan hukum syariat Islam. Hal ini telah dinyatakan dalam Hikayat Seri Kelantan iaitu:
            “Raja Kelantan banyak  menurut hakim Allah – mencuri hukum dengan hakim Allah, potong tangan dan bunuh dibunuh balas. Ada setengah yang laka patut diqisas-qisas dan patut [de]nda mengikut hakim Allah. Itulah hukum Kelantan daripada raja dahulu serta lantikan kadi dan Tuan Abdul Rahman Muda, anak Pak Wan Othman, cuncu  Tun Wan Ramat, jadi mufti dan Syed Jaafar hakim; Nik Jid, Nik Ya, jadi kelengkap hakim, Wan Abdul Kadir jadi semaian.”
Petikan diatas juga menunjukkan bahawa selain melaksanakan hukum syariat Islam, Kelantan juga mempunyai jentera yang melaksanakan hukum berkenaan dengan adanya jawatan mufti, kadi dan sebagainya. Di peringkat daerah atau mukim, para Imam pada ketika itu bukan sahaja bertindak dalam memimpin hal ehwal keagamaan tetapi berperanan sebagai pentadbir sesebuah mukim sebelum kewujudan jawatan Tok Kweng. Menurut William R. Roff:

            "In addition, for much of the century, they appear to have had general administrative oversight of other matters arising in the mukim, or parish area, including the alienation of land, supervision of produce taxes and assessment and collection of the triennial banchi or poll-tax".
Pada zaman Sultan Muhammad II juga telah dibangunkan masjid yang besar di Kota Bharu yang dikenali sebagai masjid kayu. Masjid ini siap pada 1867 dan berfungsi sebagai tempat masyarakat menunaikan solat jemaah dan tempat menuntut ilmu pengetahuan agama Islam.

Era Sultan Ahmad (juga dikenali sebagai Sultan Tengah) memperlihatkan ketegasan baginda dalam mengawal unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah masyarakat Kelantan. Antaranya ialah pengharaman aktiviti kebudayaan yang bercanggah dengan syariah Islam seperti yang diterangkan dalam Hikayat Seri Kelantan:

         “Hingga sampai Sultan Ahmad, dilarang menorah, makyung dan segala haram  semuanya ikut hukum Allah”.
Selain itu juga Sultan Ahmad amat menekankan bidang pendidikan Islam kepada rakyat. Baginda telah menggunakan kuasanya menitahkan rakyat supaya mempelajari ilmu pengetahuan Islam seperti keterangan dalam Hikayat Seri Kelantan yang menyatakan:

            “…sangat kuat disuruh sekalian orang-orang belajar hukum Allah, serta sultan suruh imam Nik Haji Wan Daud membaca hadis tiap hari Selasa, berhimpun ramai mendengarnya diperintah oleh sultan”.
       Kedudukan syariat Islam sebagai sumber perundangan Kelantan telah diperkukuhkan lagi semasa pemerintahan Sultan Muhammad III apabila baginda mengarahkan agar dikuatkuasakan syariat Islam dalam acara guaman sama ada jenayah mahupun mal. Baginda bagaimanapun tidak menghalang undang-undang adat dilaksanakan asalkan tidak berlawanan dengan prinsip-prinsip syariat Islam.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansor, perlaksanaan syariat Islam mencapai kemuncaknya apabila baginda menguatkuasakan hukum hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh. Selain itu juga baginda turut memperkenalkan etika berpakaian berlandaskan syarak. Muhammad Husain Khaliei Haji Awang menyatakan bahawa:

“Sebagai seorang raja yang terkenal wara’, berjiwa besar dan maju, Duli Yang Maha Al-Sultan Mansor tidak ingin melihat sebarang perbuatan yang bertentangan dengan hukum syara’, baginda tidak senang melihat rakyat jelatanya memakai pakaian-pakaian yang tidak teratur dan membuka aurat, lalu baginda pun menitah kepada setiap lelaki memakai kain sarung dan baju teluk belanga untuk mengganti pakaian lumrah pada zaman itu iaitu sehelai kain lepas diikat bengkung dan sehelai tengkolok (kain setangan) serta diselit sebilah keris dan setiap perempuan pula hendaklah memakai kain sarung, baju kurung dan sehelai kain tudung kepala menggantikan pakaian perempuan yang lumrah itu ialah sehelai kain sarung berkemban (kain yang dibelit di bawah ketiak menutupi bahagian belakang dan dada seperti yang dipakai oleh perempuan-perempuan Bali”.
            Dalam tempoh masa 1900-1902 iaitu semasa era Sultan Muhammad IV beberapa peraturan baru berlandaskan syariah Islam diperkenalkan. Antaranya ialah tindakan saman ke atas mereka (lelaki) yang tidak hadir solat Jumaat tanpa ada sebab yang munasabah, hukuman ke atas mereka yang tidak menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan dan hukuman ke atas kesalahan berkhalwat. Dalam memantau kehadiran solat Jumaat, satu jawatan yang dikenali sebagai Pemeriksa Jumaat telah diperkenalkan.

            Secara umumnya bermula dari era pemerintahan Long Yunus sehingga ke era sebelum penjajahan boleh dikatakan bahawa syariat Islam telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kesultanan Kelantan. Namun apabila Sistem Penasihat Siam diperkenalkan pada tahun 1903 dan seterusnya ke era campur tangan British pada tahun 1909, undang-undang Islam hanya dihadkan kepada undang-undang keluarga sahaja.           






No comments:

Post a Comment

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.