Permulaan Sebagai Aktivis Dikir Barat Kampus
Gambar Sekadar Hiasan...hehe |
Alhamdulillah, setelah sekian lama ambo tidak menulis hari ini ambo dengan izin Allah SWT telah diberikan kekuatan untuk mencoret beberapa kenangan yang ambo lalui satu ketika dahulu sebagai salah seorang aktivis kesenian dikir barat. Setahun (2004) setelah ambo menamatkan persekolahan ambo dan mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ambo telah telah diterima untuk melanjutkan pengajian ambo ke peringkat sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Perkara yang pertama ambo apabila dapat masuk 'U' selain untuk fokus kepada pelajaran ialah bergiat aktif dalam kegiatan seni dikir barat. Peluang yang pertama yang diberikan kepada ambo apabila pihak kolej kediaman ambo Kolej Aminuddin Baki (KAB) memilih ambo dan beberapa rakan mahasiswa yang lain untuk menjalani latihan kebudayaan yang dikelolakan oleh Pusat Kebudayaan UKM di Dewan Tun Abdul Razak, DECTAR (bapak segala dewan di UKM) sempena Minggu Mesra Mahasiswa (minggu orientasi bebudak baru termasuk ambo). Apabila ambo tiba di DECTAR, ambo bersama dengan rakan-rakan lain kecuali yang terlibat dengan kesenian lain telah dibawa ke bilik dikir barat di tingkat atas DECTAR. Ambo sangat takjub sekali bila melihat bilik berkenaan, cukup lengkap dengan peralatan seperti alat siaraya dan alat muzik dikir barat. Pada ketika itu yang mengendalikan latihan adalah En Burhanudin (Abe Din) dan En Afiezul (Joe Bbano Emas). Mereka berdua telah membuat audition dan akhirnya ambo yang dipilih untuk mengetuai persembahan. Dibelakang ambo adalah awak-awak mahasiswa baru yang dipilih ada lelaki ada perempuan, berbagai negeri dan berbilang kaum. Disinilah ambo berkenalan dengan beberapa orang rakan-rakan dari kolej lain yang mempunyai minat yang mendalam terhadap keseniaan dikir barat seperti Azam (Ajey), Sobri (Sob) dan Roslan (Ley Seres). Dari Kolej Aminuddin Baki ambo tidak keseorangan kerana turut bersama ambo adalah Saiful (Sepu), Fikri (Mat Yie) dan Roslan Palapes (Lan).
Ketika rakan-rakan sebatch KAB mengikuti minggu orientasi di kolej, ambo dan beberapa rakan yang lain pula sibuk berlatih untuk malam persembahan. Persembahan tersebut bakal disaksikan oleh seluruh mahasiswa baru sebagai salah satu program dalam minggu orientasi. Boleh dikatakan kebanyakan program sempena minggu orientasi diadakan di DECTAR dan persembahan kebudayaan merupakan salah satu program berkenaan.
Masa berlatih untuk mengadakan persembahan adalah amat singkat iaitu dua hari sahaja. Tetapi dengan pengalaman dan kebijaksanaan kedua-dua jurulatih iaitu Abe Din dan Joe Bbano, kesemua peserta yang menjalani latihan dengan cepatnya dapat menguasai apa yang diajar. Pada malam persembahan nanti, kumpulan dikir barat akan mempersembahkan dua genre lagu iaitu karut patani dan diakhiri dengan irama wau bulan. Bagi ambo yang sudah ada pengalaman tidak menjadi masalah cuma perasaan gementar tu ada la sebab persembahan itu nanti adalah di depan ribuan penonton. Satu perkara baru yang saya dapat pelajari dari persembahan di DECTAR ialah pengurusan pentas yang amat efisien. Inilah pertama kali saya akan membuat persembahan sambil dikeluarkan asap dan disinari lampu disco..hahaha...Pengurusan pentas pada malam persembahan itu juga dikendalikan oleh mahasiswa baru sambil ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai pusat kebudayaan.
Maka malam persembahan yang di tunggu-tunggu sudah tiba. Apabila dijemput kumpulan dikir barat untuk mengadakan persembahan, ambo dengan bergayanya keluar dengan penuh berkeyakinan. Di hadapan ambo adalah ribuan penonton yang memberikan tepukan gemuruh. Rasa gementar(orang kelate kato kenaling) sudah hilang secara tiba-tiba. Dalam hati ambo ketika itu ambo mesti tunjukkan yang terbaik demi memartabatkan seni dikir barat. Dengan tenangnya selepas bertabuh ambo melantun alunan:
'Awe oh Awe'
Mahasiswa Maju Jayo'
Ambo nok ghoyak ini maley
ingat pesey oghe tuo
(Yang ni je ingat..hehe)
Selepas selesai karut patani, ambo dendangkan irama Wau Bulan dan tanpa disangka-sangka satu DECTAR juga turut sama-sama menyanyikan lagu irama Wau Bulan. Kenangan ini ambo akan ingati sampai bila-bila dan merupakan permulaan kembara seni ambo di dunia kampus. Rasanya setakat ini sahaja coretan ambo. Di lain masa ambo akan coretkan lagi kenangan ambo di masa lalu terutamanya ketika berada di kampus UKM...
No comments:
Post a Comment