Thursday, October 18, 2018

Pengertian Dan Asal Usul 'Dikir Barat'



'Dikir barat' merupakan salah satu persembahan kesenian tradisional yang paling diminati khususnya di negeri Kelantan. Ia merupakan kesenian tradisional yang baru jika dibandingkan dengan kesenian tradisional yang lain. Perkataan 'dikir' mempunyai persamaannya dengan perkataan zikir iaitu satu sebutan yang memuji Allah s.w.t. Manakala perkataan barat pula merujuk kepada “Selatan Thailand”. Orang-orang dahulu di Kelantan menganggap bahawa daerah di utara mereka adalah sebelah barat. Dari sini timbul satu pendapat bahawa 'dikir barat' ini berasal dari Thailand. Penggunaan perkataan dikir juga banyak digunakan selain dikir barat seperti dikir Pahang, 'dikir maulud', 'dikir rebana' dan 'dikir berarak'. Namun begitu dikir barat juga mempunyai nama-nama lain seperti 'dikir karut', 'dikir pantun' dan 'dikir syair'.

'Dikir barat' lebih dikenali di Kelantan manakala dikir karut lebih dikenali di Selatan Thailand. Pada suatu ketika dahulu dikir barat dimainkan selepas musim menuai padi. Namun pada masa kini dikir barat tidak lagi dimainkan mengikut musim tetapi dimainkan sama ada dalam bentuk persembahan untuk majlis-majlis rasmi, persembahan hiburan bertiket dan persembahan dalam bentuk pertandingan.

Pensejarahan mengenai asal usul 'dikir barat' adalah amat kabur kerana masih tiada lagi sumber-sumber utama dalam bentuk catatan untuk mengesahkan asal usulnya secara mutlak. Asal usul mengenainya hanya diambil daripada perbualan orang-orang sama ada mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya. Dari sini telah timbul pelbagai polemik atau pendapat tentang asal usul 'dikir barat'. Di bawah ini disenaraikan beberapa pendapat tentang asal usul dikir barat:

a) 'Dikir Barat' Berasal Dari Selatan Siam:Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya 'Dikir Barat' ini yang lebih terkenal dengan nama 'Dikir Hulu' dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah dinaungi oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung 'Dikir' ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ia adalah dalam bentuk 'Dikir' dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.


b) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Tebu: Ada orang mengatakan bahawa 'Dikir Barat' ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan 'Dikir Barat', ramai orang menganggap 'Dikir Barat' sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.


c) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang.Bila memperkatakan 'Dikir Barat', nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana 'Dikir Barat'. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau sendiri mengakui yang 'Dikir Barat' ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Ketika mula-mula 'Dikir Barat' dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk 'Dikir' tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan 'Dikir Barat' di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang seterusnya telah mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi 'dikir barat'. 


d) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Kerengga: Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak Nik Man) 'dikir barat' berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam.Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan 'dikir barat' berasal dari sana.


e) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ilham Budak Penjaga Lembu: Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa 'dikir barat' berasal dari permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk berkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan 'dikir barat'. 


f)'Dikir Barat' adalah persembahan asli rakyat Kelantan yang berasal daripada gabungan berbagai jenis dikir yang lain seperti  'dikir rebana besar', 'dikir laba', 'dikir rebana kerching', 'dikir budak' dan pantun inai.


Dan, pendapat terbaru tentang asal usul 'dikir barat' ialah...


g) 'Dikir Barat' Berasal Dari Kota Baru, Reman, Selatan Siam (Thailand): Pendapat ini dikemukakan oleh seniman 'dikir barat' terkenal Dollah Tok Deh yang telah menguatkan lagi hujah bahawa 'dikir barat' sememangnya berasal dari Selatan Siam. Cuma kali ini beliau dengan lebih terperinci menerangkan tempat asal 'dikir barat' iaitu di Kota Baru, Reman. Beliau menyatakan bahawa nama asal 'dikir barat' ialah 'dikir hulu' iaitu di kawasan pedalaman daerah Yala, Kota Baru. Beliau menyatakan bahawa persembahan 'dikir barat' ini pertama kali di persembahkan kepada pemerintah salah sebuah wilayah di selatan Siam iaitu Sultan Abdul Kadir sempena majlis berkhatan putera baginda. Untuk  keterangan lanjut boleh lawati sumber youtube

Daripada pendapat-pendapat yang diutarakan diatas adalah sukar untuk mengetahui yang mana pendapat tersebut yang benar-benar mutlak untuk kita mengetahui asal usul 'dikir barat'. Diharapkan satu masa nanti akan muncul satu pendapat mutlak tentang asal usul 'dikir barat' ini. 

No comments:

Post a Comment

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.