Bermulanya “Ambo” Disini
Sudah
menjadi adat makhluk apa yang ada hari ini mesti ada permulaannya dan pasti ia
akan menemui pengakhiran kelak. Begitu juga dengan ambo, keterlibatan ambo
dalam dunia dikir barat bermula apabila ambo masuk menyambung pelajaran di sebuah
sekolah berasrama (bukan asmara….hehehe), Sekolah Menengah Teknik Bachok
(sekarang dikenali sebagai Kolej Vokasional Bachok). Orang yang membawa ambo
menceburi dikir barat disini ialah senior ambo Jefri aka Mat Jeff Benetton (setelah
lama berpisah akhirnya ambo dipertemukan lagi dengan Mat Jeff tapi kali ini
ambo yang tarik dia join dikir barat di UKM. Dia sambung pengajian peringkat
ijazah kejuruteraan manakala ambo baru tamat pengajian di UKM pada pertengahan
tahun 2008).
Secara
umumnya pasukan Dikir Barat SMT Bachok
bernaung dibawah kelab kebudayaan sekolah yang dipimpin oleh cikgu Fauzi
Mat dan cikgu Faizah. Kali pertama ambo naik pentas mempersembahkan dikir barat
ialah ketika sambutan hari guru tahun 2001. Rasa berdebar tuhan saja yang tahu
maklumlah kali pertama ambo berdikir walaupun pernah di sekolah lama (SMK Kota) ambo jadi tekong nasyid. Bila saja ambo buka mulut terus sinaran cahaya silih
berganti menimpa muka ambo(flash kamera), lagi la terasa kencang jantung bergerak.
Setelah
persembahan yang cukup meyakinkan ketika sambutan hari guru, cikgu Fauzi Mat
minta ambo sediakan pasukan untuk masuk pertandingan dikir barat anti dadah
peringkat daerah Bachok. Sebulan lebih kami berlatih harung apa sahaja,
Sebenarnya kami semua tiada pengalaman langsung sampai cikgu keliru nak guna
bahasa apa ketika mengarut, guna bahasa Melayu standard ke bahasa kelate…hehehe…
Di
saat akhir menghadapi pertandingan timbul masalah siapa yang akan jadi tukang
karut sedangkan ambo berada di posisi tok jogho (juara). Akhirnya cikgu buat
keputusan ambo diletakkan sebagai tukang karut dan tok jogho telah diberikan
kepada senior saya Mat Jeff (polisi SMT Bachok, tidak membenarkan murid tingkatan 5
terlibat dengan pertandingan luar selepas bulan Jun untuk fokus SPM). Walau
berat tapi terpaksalah saya pikul tugas tukang karut. Di saat akhir juga datang
seorang aktivis dikir barat sekitar Bachok, beliau telah sedikit sebanyak memberi
tunjuk ajar kepada kami. Apa yang uniknya, beliau telah ubah kedudukan
awok-awok kepada bentuk melengkung. Tok jogho duduk di lengkung kanan, tukang
karut duduk di lengkung kiri. Sampai sekarang ambo pun tidak tahu apa rasional
duduk seperti itu….hahahaha
Pertandingan
ini seingat ambo berlangsung pada awal Ogos 2001. SMT Bachok membuat
persembahan yang ketiga seingat ambo. Lupa nak bagi tahu tuan rumah
pertandingan adalah sekolah ambo sendiri, masih ingat lagi ketua warden asrama
saya cikgu Burhanuddin bertindak sebagai pengacara majlis seingat ambo lah.
Bila tiba giliran kumpulan ambo, Mat Jeff membuka panggung dengan lagu
joghonya. Lagu Jogho pada masa tu menggunakan melodi lagu jogho Citrawarna
Megat Nordin. Tiba-tiba suara Mat Jeff tak keluar menambahkan lagi rasa
berdebar ambo. Setelah tamat Mat Jeff berjogho, tiba giliran ambo dengan dimulakan
dengan karut yengki. Satu dewan gemuruh dengan tepukan maklum lah tuan rumah
kan….hehehhe….
Selepas
karut yengki bermulalah adegan yang
menggamat dewan sekolah ambo. Satu dewan riuh rendah, robot berjoget dan satu
ketika ambo lupa lirik tapi ambo teruskan jugak sampai habis. Tamat pertandingan
keputusan di umum, johan pertandingan disandang oleh juara bertahan PPD Pasir Puteh/Bachok(dulu dua daerah gabung satu PPD) SMK Cherang
Ruku. SMT Bachok dapat nombor berapa??? Entah ambo pun tak tahu….hahahahaha…Walau
bagaimanapun pertandingan yang disertai ini memberi ambo pengalaman yang tidak
ternilai. Inilah kali pertama ambo mewakili sekolah dalam
bidang kokurikulum dan pertama kali ambo terlibat dengan dikir barat.
Kenangan
ambo di SMT Bachok sebagai pendikir tidak akan ambo lupa sampai bila-bila.
Sesiapa yang baca tulisan ambo mari kita sedekah al fatihah buat sahabat ambo
yang sangat komited dengan dikir barat bersama ambo dulu arwah Amri Tumpat,
moga roh dia dicucuri rahmat dan Allah ampunkan dosa dia. Amin…
No comments:
Post a Comment